Hiburan

Bapa hanya mampu beri roti sebagai hadiah ‘birthday’, tak sangka inti roti ada benda lain

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Tak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah insan yang akan berkorban apa sahaja demi membesarkan anak tersayang.

Baru-baru ini tular akan satu video di mana seorang bapa tidak mampu menghadiahkan anak lelaki serta isteri akan hadiah yang mahal.

Hanya mampu beri roti

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh seorang gadis dikenali sebagai shamirahidayat, memaparkan saat bapanya memberikan hadiah berbentuk roti kepada abang serta ibunya.

“Efforts seorang ayah, seorang lelaki yang tak pernah berhenti menghargai kami. Semoga babah sentiasa sihat, berjaya dunia akhirat,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menurut Shamira, bapanya memaklumkan bahawa dia tidak mampu membeli apa-apa namun, hanya memberi roti sahaja sempena ulang tahun kelahiran abang dan ibunya.

“Babah call “babah tak mammpu nak beli hadiah apa-apa. Babah beli roti ja. Babah tak mampu” dengan nada sedih,” ujarnya di video.

Dibalas dengan gelak ketawa

Melihat ke rakaman video tersebut, saat memberikan roti kepada anak lelakinya dan mengucapkan selamat ulang tahun, anak lelaki tersebut hanya mampu ketawa selain turut memberi kepada isterinya.

Ada duit dalam roti

Dalam pada itu, lelaki berkenaan meminta isteri dan anak lelakinya agar buka dan memakan roti tersebut di hadapannya.

Bagaimanapun, ketika sedang asyik makan anak lelakinya terlihat bahagian tepi roti telah terbuka dan rupanya ada hadiah lain di dalam roti sebelum ketawa.

Difahamkan, kejutan tersebut dilakukan sendiri oleh ayahnya dengan memasukan duit di dalam roti namun melekatkan semula plastik roti tersebut.

“Tiba rindu dekat ayah”

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji akan usaha bapa gadis ini yang cuba membuat anak isterinya bahagia selain turut meluahkan rasa rindu pada ayah masing-masing.

 

FIRMAN Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)

Berbakti kepada ibu bapa

Betapa besarnya tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa sehinggakan Allah ada menyebut di beberapa tempat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.

Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Firman Allah SWT, “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151)

Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulul-lah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah SAW menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Tanda syukur kepada Allah SWT dengan menunaikan solat dan tanda berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayan dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32)

Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Justeru, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka.

SUMBER:
TikTok Shamirahidayat via https://redaksi.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *