Amalan

Peniaga kedai runcit terduduk kena kompaun RM50 ribu. Ini yg dia nak bagi sebab tak mampu bayar

KOTA BHARU: “Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, saya memang tidak mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000,”.

Demikian luahan Mansah Marjurin, 47, antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah KawalanPergerakan (PKP).

Mansah yang berniaga kedai runcit di Jalan Chempaka di sini, berkata sememangnya dia tidak mampu untuk membayar kompaun kerana bayaran rumah juga sudah tertunggak sejak tujuh bulan lalu, selain sebuah kereta ditarik pihak bank sejak PKP.

Menceritakan kejadian jam 11.40 malam ketika didatangi empat anggota polis, bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu berkata, kedai runcit miliknya sudah ditutup, namun hanya pintu kecil tidak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.

Mansah mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi had masa di Jalan Cempaka, Ahad lalu – Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

“Memang saya sudah tutup kedai dengan semua pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah jelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup, namun tetap disaman RM50,000,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mansah yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang mengakui sangat terkejut melihat jumlah kompaun yang dikenakan kerana pendapatannya hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isteri yang tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum tampil membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam keadaan terkejut. Mungkin hari ini saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya yang tinggal di Taman Tanjung Mas, di sini.

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga, termasuk seorang peniaga burger pada Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga berkenaan.

“Peniaga itu akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.

Peniaga colek pula dikompaun RM50,000

KOTA BHARU: Belum pun reda kisah peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa malam kelmarin, seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah yang sama.

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis jam 11.20 malam kelmarin.

Katanya, tanpa bertanyakan maklumat lanjut terhadap dia dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi lebih masa.

Kedai colek milik Mohd Azizi dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa. – NSTP/Nor Fazlina Abdul Rahim

“Saya terkejut dan terkedu melihat jumlah kompaun yang dikenakan, sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun susah kerana berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.

“Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.

“Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, dia yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah selain perlu menanggung tiga anak saudara sudah tentu tidak mampu membayar jumlah kompaun berkenaan.

“Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih rela memilih untuk masuk penjara.

Mohd Azizi dan isterinya, Nik Norwati dari Kampung Chekok Tengah dikenakan saman RM50,000 kerana beroperasi lebih masa. – NSTP/Nor Fazlina Abdul Rahim
“Ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000. Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mee celup pada hari biasa.

“Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam,” katanya.

Disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, beliau berkata, dia sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku.

“Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami. Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga colek di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

Katanya, peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

PEMBACA BERITA DIPUJI KERANA BERCAKAP LANTANG

Seorang pengguna Twitter, @Zulhelmikhari memuat naik video sedutan paparan berita di laman Twitter memperlihatkan penyampai berusia 32 tahun itu sedang membaca berita dengan menyelit skrip ‘tiada otak’.

“Sekarang ini ramai yang hidup secara ala kadar. Ketika otak yang letaknya di atas, tapi ada yang bertindak seolah otak di lutut.

“Mengenakan kompaun RM50,000 pada penjaja kecil yang hanya berniaga di kawasan kampung sendiri, usaha itu dibuat kerana ada yang menanggung sehingga 11 sekeluarga,”

Ciapan video tersebut diulang kicau hampir 30,000 kali dan mendapat 40,000 tanda suka selain ratusan komen netizen yang berkongsi reaksi kagum terhadap personaliti berasal dari Ipoh, Perak itu.

VIDEO:

Rata-rata memuji cara penyampaian Luqman yang berani tanpa perlu ‘berlapik’ ayat-ayat tertentu selain menyifatkan memerlukan lebih ramai lagi penyampai sebegini yang berpihak kepada suara majoriti.

Terdahulu, Wan Mohd. Faisal yang berdepan kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan di Kota Bharu diminta mengemukakan rayuan agar boleh diberikan pengurangan atau pengecualian kompaun.

Keputusan rayuan kompaun RM50,000 diketahui awal

KOTA BHARU: Keputusan rayuan kompaun membabitkan nilai RM50,000 yang dikemukakan dua peniaga mungkin diketahui lebih awal, berbanding kebiasaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata setakat ini pihaknya menerima dua rayuan daripada peniaga terbabit yang dikenakan kompaun RM50,000 dan kini dalam proses menghantar rayuan itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Pihak KKM akan meneliti fakta kes ini dan memerlukan masa untuk semakan. Mungkin keputusan diterima lebih awal,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, antara tiga peniaga dikenakan kompaun RM50,000 itu berkata, setakat ini dia belum dipanggil oleh pihak polis untuk tawaran pengurangan nilai kompaun.

“Saya memang tahu polis akan panggil, namun sehingga kini saya belum dihubungi lagi,” katanya.

Media semalam melaporkan, KKM meminta peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang turut dikenakan kompaun RM50,000 untuk segera mengemukakan rayuan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya melihat kes itu sebagai satu kes khusus dan perlu ditangani segera.

Katanya, pihaknya amat prihatin dan memandang serius terhadap kes yang mendapat perhatian dan simpati ramai itu.

Perdana Menteri akhirnya tampil bersuara selepas ada peniaga kecil yang kena kompaun maksimum

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengingatkan agensi penguat kuasa yang menjalankan kawalan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 supaya menggunakan pendekatan lebih berhemah.

Katanya, ketegasan penting untuk memastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa sama perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan terhadap tindakan bakal dikenakan.

“Perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang supaya usaha kita untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima.

“Hal ini sangat penting, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19 yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat. Ada (rakyat) yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman ataupun hasil tanaman masing-masing.

“Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19, hari ini.

Muhyiddin turut berharap kerjasama dan persefahaman yang baik antara masyarakat serta pihak penguat kuasa akan mampu memperkasakan lagi komuniti untuk bersama-sama menjayakan usaha membendung penularan jangkitan virus Covid-19.

Katanya, yakin jika sikap saling mengingatkan ini diamalkan, maka amalan norma baharu dalam kehidupan dapat dibudayakan. Media sebelum ini melaporkan peniaga burger dan colek di Kelantan masing-masing dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa.

Peniaga berkenaan mendakwa didatangi penguat kuasa melakukan pemantauan terhadap pematuhan SOP dan terus menulis kompaun dengan nilai berkenaan.

Kedua-dua peniaga kecil itu tidak berkemampuan untuk menjelaskan kompaun terbabit dengan peniaga colek berkata lebih memilih memasuki penjara.

Sementara, Kementerian Kesihatan (KKM) semalam memaklumkan akan menilai semula kes berkenaan peniaga burger terbabit sama ada diberi pengurangan atau pengecualian.

Apa kata anda? Kongsikan bersama kami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *