Uncategorized

Jangan risau, rayuan permohonan BPR dibuka mulai 15 Jun. Tengku Zafrul bagitahu apa yg pemohon perlu buat

PERKHABARAN mengenai tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibuka mulai Selasa hadapan hingga 30 Jun ini pastinya memberi kelegaan kepada ramai rakyat di negara kita,

Ia bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana kerajaan sedar bahawa kemungkinan ada rakyat yang layak menerima BPR tetapi masih belum didaftarkan dalam pangkalan data.

“Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, ” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tengku Zafrul berkata, setakat ini, sebanyak RM4.6 bilion bantuan BPR telah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada Februari atau Mac dan Mei tahun ini.

“Bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada bulan September ini, ” katanya.

Dua Kaedah

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah memperkenalkan BPR Tambahan sebanyak RM2.1 bilion untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada seperti yang diumumkan dalam Program Pemerkasa+ pada 31 Mei lalu.

Menurut beliau, pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan dan permohonan rayuan boleh dibuat melalui dua kaedah.

“Kaedah pertama, dalam talian iaitu melalui https://bpr.hasil.gov.my.

“Kaedah kedua, penghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual dan ia dihantar sama ada di cawangan, Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran secara temu janji sahaja, ” katanya.

Tambahnya, setelah pangkalan data BPR dikemaskini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos bagi BPR Tambahan dan September bagi BPR Fasa 3.

PKP 3.0: PM umum rakyat terjejas dapat tambahan BPR, moratorium turut ditawarkan

SEBANYAK RM2.1 bilion diperuntukkan bagi tambahan dalam program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0, Isnin malam.

Ia merupakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Mengenai BPR, kategori isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 mendapat BPR tambahan RM500 manakala bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima RM300.

Sementara itu, golongan bujang akan menerima BPR sebanyak RM100.

Muhyiddin berkata, bayaran itu akan dimasukkan ke dalam akaun penerima pada akhir Jun 2021.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengumumkan mengenai moratorium untuk golongan B40, pekerja dan PKS yang terjejas.

Mereka diberi pilihan sama ada kelulusan automatik moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Antara lain adalah bantuan khas one-off sebanyak RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, pemandu bas sekolah, bas persiaran serta kereta sewa dan e-hailing.

Bayaran itu akan mula dibuat pada Julai depan.

Selain itu, Geran Khas Prihatin (GKP) juga dinaikkan kepada RM1,500 yang akan memanfaatkan hampir sejuta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro

Ia akan dibayar sebanyak dua kali mulai Jun, iaitu RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada Julai.

Menerusi Pemerkasa Plus, ia membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Perdana menteri berkata, Pemerkasa Plus menumpukan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

sumber: mstar, sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *