Uncategorized

Dakwaan bakal dilantik PM interim, Ismail Sabri cerita perkara sebenar

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyifatkan dakwaan dia akan dilantik sebagai perdana menteri interim hanya sebagai khabar angin yang tular di portal media dan media sosial.

Ismail Sabri berpandangan dakwaan itu mungkin dibuat bagi memecahbelahkan atau mengeruhkan keadaan dalam kerajaan yang sedang menangani isu lebih besar iaitu penularan Covid-19 dan kesusahkan rakyat.

“Saya juga difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada istilah perdana menteri atau kerajaan interim… itu saya anggap hanya khabar angin.

“Kita tidak perlu layan apabila ada pihak yang hendak memecahbelahkan kerana jika dilayan, ia akan bertambah teruk.

“Jangan terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan kerana tindakan yang sepatutnya ialah mendamaikan atau menyejukkan suasana.

“Mari kita bersatu kerana tanggungjawab kita lebih besar dan kenapa tidak kita fokus kepada perkara tersebut,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di Masjid Charuk Puting serta meninjau pelaksanaan jambatan Guai di Bera hari ini.

Menteri Pertahanan itu mengulas dakwaan di portal media semalam bahawa dia mempunyai sokongan kuat dalam kalangan anggota kabinet untuk dilantik sebagai perdana menteri interim bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Pihak terbabit mendakwa rundingan mengenainya sedang berjalan dalam kalangan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Nak guna kepala surat apa

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata isi kandungan surat bertarikh 29 Julai lalu – yang menggunakan logo BN – pada kepala suratnya – mengenai sokongan 40 ahli parlimen parti itu kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah sah.

Katanya, surat yang meletakkan namanya pada bahagian bawah sebagai ‘penghantar’ dibuat selepas bertemu dan mendapatkan persetujuan 39 ahli Parlimen BN terlibat.

Justeru kata Ismail Sabri, dia berpandangan kenyataan Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Shafri Ab Aziz bahawa surat itu palsu hanya berkaitan isu penggunaan kepala surat berkenaan.

“Apabila saya hendak buat kenyataan akhbar, nak guna letter head (kepala surat) apa? Letter head BN-lah kerana saya dan MP yang lain juga adalah dari BN.

“Bagi saya, tidak timbul isu kerana yang penting ialah isi kandungannya iaitu 40 orang daripada 42 ahli parlimen BN menyokong kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Ismail Sabri berpandangan perkara itu juga tidak bertentangan dengan ketetapan Majlis Tertinggi Umno yang memberi kebebasan kepada ahli parlimen selain menteri dari parti itu tidak perlu meletak jawatan.

“… dari sudut undang-undang jika menarik sokongan (terhadap) perdana menteri, maka kerajaan akan tumbang dan ahli parlimen terlibat berpandangan kita menyokong kerajaan supaya tidak tumbang,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *