Uncategorized

“Ini sahaja ‘madu’ yang saya terima” Ezza sanggup ‘dimadukan’ Remy Ishak

SEPANJANG minggu ini, hampir setiap hari ada sahaja cerita tentang pasangan pengantin baharu, Remy Ishak dan Ezza Yusof berlegar dalam media sosial.

Selain Instagram Remy, media sosial milik Ezza turut mendapat perhatian. Iyalah, kalau sudah jadi isteri Hero Pujaan Malaya, mestilah.

Salah satu hantaran yang mencuri tumpuan apabila Ezza mendedahkan hanya ada satu makhluk yang boleh diterima sebagai madunya.

Rupa-rupanya madu yang dimaksudkan Ezza ialah seekor kucing.

“Ini sahaja ‘madu’ yang saya terima.Berebut kasih sayang,” seloroh Ezza dalam InstaStorynya yang berkongsi foto seekor kucing sedang tidur lena di atas pangkuan Remy.

Lucu juga Ezza ini ya. Semoga kalian bahagia sampai syurga. Minta simpanglah madu-madu itu semua.

PERKONGSIAN InstaStory Ezza yang bergurau tentang ‘madu’.

Ezza tak pandang saya ‘Remy Ishak’

Sifat toleransi dan sentiasa di sisi dalam ‘jatuh bangun’, membulatkan hati aktor, Remy Ishak, 39, memilih usahawan, Roszaliza Yusuf atau Ezza Yusuf, 38, sebagai bakal isteri.

Lapan tahun menjalin hubungan yang disulami pelbagai ujian, Remy yakin Ezza wanita paling sesuai menjadi permaisuri hati.

“Selama ini, ada wanita kenal saya sebagai ‘Remy Ishak’, bukan Mohammad Zalimei Ishak (nama sebenar). Ezza ini lain… Dia boleh bertahan dengan status dan pekerjaan yang saya buat.

“Jika diikutkan, ketika kami putus hubungan, saya ada kenal beberapa wanita lain. Hakikatnya, mereka tidak sama dengan dia.

“Ezza ada di sisi ‘jatuh bangun’ saya… Pendek kata, Ezza terus cuba memahami saya.

“Sama juga perasaan saya terhadapnya. Masing-masing cuba berubah untuk menjadi lebih baik untuk diri sendiri dan orang lain.

“Ezza juga terbuka dan menenangkan saya ketika berdepan kontroversi atau gosip,” katanya pada sidang media virtual mengumumkan pernikahan dengan Ezza yang dijadual berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) di sebuah masjid di sini, tengah hari esok.

Majlis itu hanya dihadiri pasangan mempelai, wali dan jurunikah.

Remy yang mendapat jolokan ‘Hero Malaya’ mengakui serasi dengan Ezza yang berasal dari Mentakab, Pahang dan mahu hubungan kekal ke akhir hayat.

“Proses mencari suri hati jadi lama dan rumit. Saya hendak hubungan sampai ke akhir hayat. Saya lahir dalam keluarga di mana ibu bapa berpisah. Perceraian menjadi suatu perkara trauma kepada saya.

“Saya tidak mahu perkara yang berlaku kepada ibu bapa, terjadi dalam hidup sendiri. Saya kena teliti dan selektif. Kita berkahwin bukan sehari dua, tetapi Insya-Allah, selama-lamanya.

“Bayangkan, orang biasa pun hendak mengekalkan perkahwinan sukar. Apatah lagi, saya yang bergelar artis. Saya takut pada mulanya, kalau Ezza tidak boleh faham cara kerja dan pandangan segelintir masyarakat terhadap artis,” katanya.

Tambah Remy, pandemik COVID-19 sejak tahun lalu memberi hikmah yang membuka matanya dalam soal masa depan dan hidup berumah tangga.

“Kalau saya sibuk bekerja dan berlakon, mungkin soal kahwin tidak diberi perhatian. Situasi ini bagai isyarat yang membuka mata saya untuk menghargai bakal isteri.

“Dalam soal lain, uban pun sudah tumbuh dalam hidung, bukan lagi di kepala. Jadi, itu menjadi titik tolak untuk saya menamatkan zaman bujang,” katanya.

Remy mahu terus aktif dalam dunia seni selepas bernikah.

“Dunia lakonan sudah menjadi minat saya sejak dahulu. Inilah ruang untuk saya lari dari realiti dan menyelinap masuk ke alam fantasi yang dicipta manusia.

“Jadi, saya akan terus berlakon selagi boleh dan diterima ramai,” katanya.

Sejak menjalinkan hubungan dengan Ezza, wanita itu yang mengusahakan perniagaan kasut, memperkenalkan Remy kepada dunia bisnes.

“Ezza menjadi antara insan yang menyuntik minat saya dalam dunia niaga. Jadi, tumpuan saya pun bukanlah 100 peratus kepada dunia seni, namun, diimbangkan dengan perniagaan.

“Kami pernah beberapa kali menjadi rakan kongsi niaga. Ada perniagaan kami tidak menjadi. Namun, itu bukan penamat.

“Kami akan terus mencuba selepas ini. Bezanya, dahalu pasangan kekasih, nanti sudah jadi rakan kongsi niaga dan rumah tangga,” katanya.

Remy berkata, mereka sebenarnya merancang untuk bernikah tahun lalu, namun, terpaksa ditunda beberapa kali.

“Disebabkan situasi pandemik COVID-19 meruncing, kita anjak kepada tahun ini. Pada mulanya, saya mahu abadikan tarikh 11 April lalu di mana saya genap 39 tahun untuk bernikah.

“Bagaimanapun, disebabkan kes jangkitan COVID-19 meningkat selain mahu menghormati keluarga masing-masing, rancangan itu tidak dapat diteruskan.

“Selepas itu, perancangan dianjak kepada Mei lalu iaitu pada hari ke-10 Syawal, iaitu sempena kemenangan kita berpuasa dan meraikan lapan tahun perkenalan kami.

“Namun, Allah tidak izinkan, lalu akhirnya, kami pilih esok (untuk bernikah),” kata pelakon filem Sangkar ini.

Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun, putus dua tahun kemudian. Bagaimanapun, ikatan kasih mereka dikatakan bercantum semula, tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *