Amalan

Peguam Nadir n4fi tak beri maklum balas pada polis

Peguam kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menafikan anak guamnya tidak memberi maklum balas kepada pihak polis berhubung tarikh untuk merakam keterangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Ridha Abdah Subri berkata, pihak polis juga mengetahui di mana anak guam mereka berada dan tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

“Anakguam kami menegaskan beliau memang ada berbalas pesanan dengan beberapa anggota polis dan menafikan tidak membalasnya.

“Mereka juga mengetahui di mana anakguam kami berada sekarang. Anakguam kami sedia memberikan kerjasama penuh di dalam apa jua siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Malah semua pihak termasuk polis mengetahui beliau sekarang berada di Gaza, Palestin. Oleh yang demikian tiada keperluan untuk meminta bantuan Interpol untuk mengesan anakguam kami.

Semalam polis dilapor memohon bantuan Interpol untuk mengesan Nadir dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapat maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka.

Ashari berkata, kedua-dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan polis berhubung satu laporan yang dibuat oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal dan Ridha berkata Ashari telah berhubung dengan Nadir dan anak guam mereka itu sedia memberi kerjasama kepada pihak polis.

Bagaimanapun kata mereka, Nadir menghadapi kesukaran untuk keluar masuk ke Gaza kerana sempadan dikawal ketat oleh pihak berkuasa, selain sedang melanjutkan pengajian di sana.

“Sehingga kini anakguam kami masih belum mengetahui butiran laporan polis yang dibuat oleh pihak terbabit secara terperinci.

“Pihak Polis boleh menghubungi kami selaku peguam kepada anak guam kami untuk memudahkan segala perancangan mengambil keterangan tersebut dan siasatan dapat disempurnakan,” katanya.

Polis rakam keterangan Nadir dalam masa terdekat

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman sudah dihubungi dan keterangannya akan dirakam dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu bersedia untuk memberi kerjasama yang sewajarnya.

“Bagaimanapun penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice setakat ini masih belum menjawab mesej yang dihantar kepadanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Muhammad Nadir mengesahkan dirinya sudah dihubungi polis petang tadi.

“Saya baru menerima mesej daripada pihak polis tadi dan sudah memberi maklum balas serta sedia memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Muhammad Nadir akan melantik peguam bagi berurusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pendakwah Ebit Lew.

Muhammad Nadir turut dilapor akan melantik peguam bagi tujuan berkenaan.

Polis semalam dilapor memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Muhammad Nadir dan Caprice selepas pihaknya gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua individu itu.

Pada 22 Julai lalu, Ebit hadir di IPD Wangsa Maju bagi memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya yang disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *