Uncategorized

Pejuang sahkan Ismail Sabri jumpa Mahathir. Ini permintaan dia sampai Tun M kena t0lak

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri telah berhubung dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri yang baru, menurut Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya.

Mengesahkan perkara itu, Marzuki berkata Ismail berjumpa dengan Mahathir di rumah bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan, Selangor sekitar pukul empat petang tadi.

Pertemuan itu berlangsung selama 30 minit, katanya.

Bagaimanapun, kata Marzuki, jawapan Mahathir kepada Ismail adalah sama seperti yang diberikan kepada Setiausa Organisasi DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang turut menghubunginya beberapa minggu lalu bagi pihak Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Apa yang Tun cakap kepada Ismail Sabri sama dengan (kepada) Loke dn Mat Sabu.

“Fokus utama Pejuang adalah masalah negara yang melimpah – Covid-19, ekonomi, sosial dan pendidikan,” katanya yang turut hadir dalam pertemuan petang tadi.

“Apa yang Tun minta agar Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat ditubuhkan,” katanya lagi.

Marzuki berkata, tidak pelik untuk mana-mana pihak meminta sokongan daripada Mahathir dan dia akan menerima mereka sebagai tetamu.

Mahathir konsisten mengajukan penubuhan MPN – satu badan seakan Mageran yang mentadbir negara selepas tragedi 13 Mei 1969 sehingga 1971.

Ketika itu, Parlimen digantung dan Mageran yang merangkumi lapan anggota mentadbir dengan kuasa darurat.

Bagaimanapun, MPN yang dicadangkan Mahathir tidak menggantung Parlimen.

“Keutamaan Pejuang adalah masalah kesihatan dan ekonomi yang begitu ketara dihadapi rakyat, bukan tentang soal nak pilih perdana menteri.

“Kalau kita pilih perdana menteri pun, talau tak dapat selesaikan masalah negara dan rakyat, tak ada guna juga,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu pemberita di Petaling Jaya yang dia menerima maklumat Ismail – yang dalam usaha mendapatkan sokongan – telah menghubungi Mahathir.

Dia bagaimanapun berkata tiada perincian lanjut berkenaan perkara itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkan akan meletakkan jawatan esok.

Muhyiddin hilang majoriti selepas 15 ahli parlimen Umno – diketuai presiden Ahmad Zahid Hamidi – menarik balik sokongan mereka.

PKR kritik Ismail di saat masa kian suntuk untuk pembangkang buktikan majoriti

PKR melancarkan kritikan terhadap Ismail Sabri Yaakob ketika naib presiden Umno itu dilihat sedang bergerak mengumpul sokongan bagi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam keterangan berasingan, menyifatkan Ismail sebagai sebahagian daripada pemimpin PN yang bersekongkol untuk menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka merujuk tindakan kerajaan PN yang dilihat bertentangan dengan titah Agong, termasuk enggan membenarkan ordinan-ordinan darurat dibahas di Parlimen.

Shamsul menyifatkan usaha untuk mengangkat Ismail sebagai perdana menteri sebagai “khabar yang tidak enak”.

“PKR berpandangan adalah perkara yang akan membinasakan dan menyedihkan seluruh rakyat sekiranya anggota-anggota daripada kabinet kerajaan yang nyata telah gagal dan tidak berfungsi ini diberikan peluang sekali lagi untuk menerajui negara sekaligus menyambung kehancuran dan porak-peranda di dalam negara sekarang,” katanya.

Fahmi pula berkata Ismail turut bertanggungjawab atas kegagalan dasar kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

“Ini termasuklah ‘total lockdown’ separuh masak, SOP yang dikuatkuasa secara ‘antara dua darjat’, dan kelewatan pemberian vaksin sehingga kita saksikan natijahnya setiap hari dengan jumlah kematian yang begitu tinggi.

“Oleh itu, mereka yang menyokong seorang ahli parlimen seperti Ismail hanya menyokong kegagalan PN diteruskan,” katanya.

Shamsul dan Fahmi menggesa agar kepemimpinan baru diangkat.

“Malaysia perlukan tenaga baru, konfigurasi kepimpinan baru, malah mungkin juga sebuah jajaran baru untuk memastikan kita mampu menyelesaikan masalah pandemik dan kebajikan rakyat secara menyeluruh dan bersama,” kata Fahmi.

Ismail dilaporkan terus memacu gerakan dengan mengatur sejumlah pertemuan untuk mengumpul sokongan terhadap pencalonan dirinya sebagai perdana menteri.

Permainan nombor

Sementara itu, di pihak pembangkang, belum ada petunjuk yang mereka mampu mengatasi perpecahan dalaman dalam kalangan mereka.

PH yang mahu Presiden PKR Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri mempunyai 88 orang ahli parlimen.

Ahli parlimen pembangkang lain termasuk Warisan (8), Pejuang (4), PSB (2), Muda (1), Upko (1) dan bebas (1).

Terdapat juga 15 ahli parlimen Umno yang menentang kerajaan PN dan merupakan pihak meyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hilang majoriti dengan menarik balik sokongan mereka.

Muhyiddin hanya mempunyai sokongan 100 daripada 220 ahli parlimen dan telah memberi isyarat akan letak jawatan esok.

Warisan dan Pejuang, yang secara bersama mempunyai 12 ahli parlimen, dilihat berada dalam kem yang sama dan tidak menyambut baik idea mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.

Berdasarkan bilangan terkini, pembangkang hanya dapat mengambil alih kerajaan sekiranya PH, blok Warisan-Pejuang, dan 15 ahli parlimen Umno dan ahli parlimen pembangkang lain berganding bahu.

Satu kerajaan gabungan mustahil dapat ditubuhkan tanpa disertai oleh sama ada blok Warisan-Pejuang atau pun blok 15 ahli parlimen Umno, melainkan PH dapat meyakinkan ahli-ahli parlimen daripada kerajaan PN untuk menukar sokongan.

Kem Ismail mencadangkan kumpulan 15 ahli parlimen Umno itu kembali kepada PN memandangkan parti itu dapat kembali mengetuai kerajaan setelah Muhyiddin – presiden Bersatu – letak jawatan.

Wakil-wakilnya juga sedang melobi parti-parti pembangkang lain untuk mencukupkan sokongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *