Uncategorized

Tegur artis veteran tidak bertudung, Jaafar Onn berniat baik dan ikhlas “Kalau ada yang nak ‘bl0ck’ saya pun, tak apa”

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Jaafar Onn, 70, tidak berniat untuk mencari sebarang masalah dengan mana-mana individu apabila menegur artis-artis wanita veteran yang masih belum bertudung.

Jaafar ketika dihubungi berkata, sebagai orang tua, dia hanya menegur dan melakukan tanggungjawabnya.

“Saya bukan sengaja nak mencari masalah. Yang mana patut saya tegur, saya tegur. Janganlah disebabkan saya tegur, orang nak ‘ban.ned’ saya. Saya tegur sebagai orang tua,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jaafar, sekiranya tegurannya secara umum itu mengguris hati mana-mana pihak, dia meminta maaf.

“Kepada yang terasa hati, saya minta maaf. Teguran saya itu secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Nak terima atau tidak, terpulang kepada diri sendiri. Dulu, saya pernah menegur seorang rakan artis yang sudah bertudung, tapi memakai pakaian dengan warna kulit di bahagian bahu. Bila saya tegur, sampai sekarang dia dah tak tegur saya,” katanya.

Menurut Jaafar, dia juga tidak kisah sekiranya tindakannya itu akan membuatkannya disekat di mana-mana platform media sosial.

“Kalau ada yang nak ‘bl0ck’ saya pun, tak apa. Saya tak hairan pun sebab saya tegur dengan baik. Bukan saya mengada-adakan cerita,” katanya.

Dalam hantarannya, Jaafar menulis mengenai artis wanita veteran yang tidak bertudung dan dosanya itu ditanggung suami.

“Ramai juga artis veteran yang masih belum berhijab (bertudung). Berhijablah. Suami yang tanggung semua. Apa pendapat anda?” tulisnya.

Terbaru, Jaafar baru sahaja selesai menyiapkan satu skrip drama berjudul Eh, Eh, Lembutnya Dia untuk syarikat produksi Global Station Sdn Bhd.

‘Artis bertudung tak sesuai pakai kain ‘warna kulit’ lah!’ – Jaafar Onn

Terdahulu Artis serba boleh Jaafar Onn, 70, mendesak golongan pereka fesyen agar tidak menggunakan kain jenis warna kulit untuk rekaan pakaian artis berhijab bagi mengelakkan salah faham masyarakat.

Ia berikutan kontroversi membabitkan artis Nabila Razali yang dikecam peminat gara-gara dikatakan berpakaian seksi dan menampakkan bahagian dada sedangkan dia menggunakan pakaian warna kulit.

“Salam untuk semua pereka fesyen. Hentikan guna kain ‘skin colour’ (warna kulit) untuk rekaan anda pada artis yang berhijab,” luahnya menerusi Facebook.

Jaafar dihubungi berkata dia terpanggil untuk menyuarakan perkara itu sebagai inisiatif membetulkan keadaan.

“Mereka sengaja cari dosa. Kebanyakan pereka fesyen ini adalah golongan lembut. Mereka fikir cantik pada pandangan sendiri sahaja dan nak menampakkan artis itu seksi walaupun si artis memakai tudung.

“Artis pula tak fikir mengenai perkara ini dan terus setuju. Main pakai sahaja tanpa bantahan yang sepatutnya.

“Saya pernah tegur seorang artis wanita veteran, ketika dia muncul di TV pakai turban tapi dedah bahagian dada dan bahu. Walaupun bahagian terdedah itu sebenarnya kain warna kulit, tapi ia tak manis dilihat. Sebab teguran itu juga, sampai sekarang dia tak tegur saya dah,” katanya kepada Harian Metro.

Jaafar yang kini popular dengan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berkata, dia seorang yang suka berterus terang dalam sesuatu perkara termasuk dalam isu pakaian ini.

“Saya cakap terus-terang dengan artis itu. Dahlah dia pakai turban, tapi caranya pakai warna kulit nampak mengaibkan terutama kepada golongan sebayanya.

“Dalam dunia seni, saya dah dikira veteran. Walaupun orang labelkan saya lelaki lembut atau apa sahaja, saya patut menegur dari segi apa pun.

“Bab salah dan dosa, saya kena tegur dan mereka tak boleh nak pertikaikan. Saya bukan nak cari publisiti tapi ini tak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pereka fesyen orang Melayu dan setiap kali ada majlis anugerah, masing-masing mahu menunjukkan kehebatan mereka pakaian tanpa mengira dosa pahala.

“Jadi saya minta pereka fesyen, janganlah hasilkan baju guna warna kulit lagi. Zaman nak seksi, nak tunjuk dada, pinggang dengan guna kain warna kulit dah tak perlu lagi.

“Ingatlah kita dah akhir zaman. Saya tegur kerana umur saya dah begini. Jangan perkotak-katikkan hal pemakaian. Kalau orang lain tak boleh tegur, siapa lagi?

“Sebagai artis, saya nampak perkara ini dan perlu tegur. Nabila Razali baru habis satu isu, takkan nak timbulkan satu isu lagi?,” katanya.

Menurut Jaafar, artis popular pasti ada pembantu peribadi atau pegawai perhubungan dari syarikat rakaman, jadi takkanlah tak boleh fikir dan tolak jika pakaian diberi itu yang tak sesuai?.

JAAFAR Onn dan Nabila Razali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *