Amalan

Berita baik! ini tarikh Bayaran BPR Fasa Tiga, dan bila boleh buat rayuan

BERITA baik! Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa Tiga dan rayuan BPR, akan dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula Selasa ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan, petang Ahad.

Beliau berkata, pembayaran secara berperingkat itu dijangka selesai pada 30 September ini.

“Pembayaran itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

“Bayaran fasa tiga ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion,” katanya.

Bagi Fasa Tiga, Ismail Sabri berkata, setiap penerima bakal memperoleh hingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR pula hingga RM2,300.

Tambah beliau, ini termasuk bayaran BPR tambahan bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai hingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah serta bilangan anak.

Menurutnya, pembayaran Fasa Tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diperoleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berkata, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberi kepada penerima yang layak, sambil ia dijadual disalurkan pada Oktober hingga Disember depan.

Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa Tiga akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Bagi maklumat lanjut, Keluarga Malaysia boleh merujuk soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi BPR, iaitu https://bpr.hasil.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *