Uncategorized

Baru je Najib jumpa Perdana Menteri, Sekali Zahid Cakap ‘Kerajaan hari ini hanya sementara’

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kerajaan yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, yang disokong oleh parti itu ketika ini hanya bersifat sementara, kerana tidak memiliki mandat mutlak daripada rakyat.

Justeru katanya, sebagaimana diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan berpandukan titah Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik COVID-19 mulai berakhir dan selepas imuniti kelompok dicapai, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan.

Beliau berkata, hanya pilihan raya yang membolehkan mandat mutlak diperoleh untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat

“Selaku Ketua Parti, saya akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi.

“Fokus kita tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini, manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat, selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata UMNO akan saling melengkapi dan bergerak seiring dengan kerajaan serta memfokuskan peranan untuk membela rakyat dan mensejahterakan negara.

Katanya, langkah itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi parti sesuai kehendak akar umbi.

“Untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau menjelaskan kehendak akar umbi yang menyatakan semua kerusi tradisi UMNO dan kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan BN pada PRU-14 lalu, tidak boleh sesekali dikompromikan.

Tegasnya, kerusi berkenaan mesti diambil kembali untuk ditandingi oleh UMNO pada PRU akan datang.

“Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan BERSATU hanya setelah Parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu supaya dapat muhasabah diri.

“Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan.

“Kepada Allah jualah kita berserah dan mengharapkan petunjuk demi meneruskan agenda perjuangan untuk membela rakyat dan usaha sejahtera negara,” katanya .

Najib jumpa Perdana Menteri

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima kunjungan Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya, di Putrajaya.

Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan selama sejam itu, beliau dan bekas Perdana Menteri berbincang mengenai cabaran ekonomi dan strategi menangani C0VID-19.

“Hari ini saya telah menerima kunjungan daripada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam pertemuan selama sejam ini, kami telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik C0VID-19.

“Datuk Seri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” katanya dalam hantaran Facebook.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *