Uncategorized

‘Bukan pagi ni’ Waktu Sulaiman angkat sumpah ketua menteri Melaka tarik perhatian ramai

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada pukul 12.58 tengah malam tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar 21 kerusi.

Hadir sama isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman.

Sulaiman Md. Ali menandatangani watikah dan sumpah kerahsiaan sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri, Ayer Keroh, Melaka tengah malam tadi.
Turut hadir menyaksikan acara angkat sumpah itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sulaiman, 55, sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri BN jika parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini merupakan kali kedua beliau dilantik selepas pertama kali pada Mac 2020.

BN sasar jangka hayat DUN Melaka kekal 4 tahun – Zahid

Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan lima ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan bagi mewujudkan kestabilan politik negara bermula di Melaka berikutan kejayaan gabungan itu meraih majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan mencadangkan ketetapan itu pada sesi persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Agenda pertama adalah memperkenal Enakmen Anti Lompat dan meminda peruntukan undang-undang berkaitan bagi menangani isu ‘lompat’ dalam kalangan wakil rakyat di DUN Melaka,” katanya dalam sidang media selepas BN memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN itu.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka malam ini.

ADS

Beliau berkata ketetapan kedua pula adalah mengusulkan kerjasama antara wakil rakyat untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama persidangan.

Katanya turut dicadangkan adalah memperkenal amalan undi percaya konstruktif bagi memastikan sebuah kerajaan tidak mudah dijatuhkan.

Ketetapan lain yang dicadangkan adalah memperkenal agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka untuk membolehkan semua wakil rakyat memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang, pembuatan dasar dan semak serta imbang terhadap kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berkata ketetapan yang dicadangkan selaras dengan agenda kestabilan politik yang menjadi teras gabungan BN dan kemenangannya pada PRN Melaka adalah isyarat jelas hasrat rakyat negeri itu.

“Kejayaan yang telah diberikan kepada BN akan dibalas oleh kita dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksanakan segala janji yang terdapat dalam manifesto BN.

“Dengan kemenangan ini, BN juga mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik kembali di Melaka… insya-Allah, kestabilan politik ini kita akan terjemahkan di seluruh negara dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya malam ini mengumumkan BN memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada 28 kerusi DUN yang dipertanding dalam PRN Melaka.

BN memenangi 21 kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi dan Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *