Uncategorized

Selepas Kanak-Kanak, Muncul Pula Aksi wanita Rohingya Minta Sedekah. Kali Ni Lebih ‘Ekstrem’

PETALING JAYA – Kisah kanak-kanak dipercayai keturunan Rohingya yang bertindak kasar ke atas pengguna jalan raya semasa meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat baru-baru ini telah mengundang kemarahan orang ramai.

Terbaharu, tular sebuah video yang memaparkan dua orang wanita yang juga warga Rohingya bertindak melampau dengan memasuki kawasan rumah awam sesuka hati dan mengetuk pintu rumah untuk meminta sedekah.

Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok, @idaleesa, dia yang berjaya merakam aksi wanita itu yang menunggu di depan pintu rumahnya telah mendapat perhatian orang ramai yang rata-rata mengecam tindakan golongan tersebut.

Tangkap layar aksi wanita Rohingya yang bertindak mengetuk pintu rumah orang awam untuk meminta sedekah.

“Ada dua orang yang datang, seorang terlindung di sebalik baju yang tergantung.

“Kejadian berlaku di Batu Buruk, Terengganu. Rumah tiada pagar dan hanya tepi jalan, pintu rumah orang luar tidak nampak kita di dalam,” katanya.

Sementara itu, pelbagai reaksi turut diberikan di ruangan komen oleh pengguna yang lain.

“Semakin berani mereka, ini disebabkan kita beri sangat muka kepada mereka tinggal di Malaysia,” kata Wan Hamizah.

“Kalau saya, terus hubungi pihak polis dan ikut jejak mereka kemana, geram betul saya dengan golongan ini,” kata Miss Aen.

“Sebelum ini pun berlaku di rumah saya, nasib pintu pagar tutup, tiba-tiba saya jumpa dekat simpang naik van ramai-ramai,” kata Miss Zorra Torra.

Selepas tular, tiada kelibat kanak-kanak Rohingya minta sedekah [METROTV]

Kuala Lumpur: Lengang dan tiada langsung kelibat kanak-kanak peminta sedekah dipercayai warga Rohingya kelihatan berlegar di kawasan sekitar ibu kota yang menjadi ‘port’ mereka melakukan kegiatan itu.

Itu hasil tinjauan Harian Metro hari ini bersama jurugambar di empat kawasan dipercayai mencari tempat ‘cari makan’ kumpulan kanak-kanak terbabit.

Tinjauan bermula jam 10 pagi di sekitar Jalan Kampung Pandan iaitu salah satu lokasi yang tular di laman sosial baru-baru ini namun tidak kelihatan seorang pun kanak-kanak berlegar di laluan berkenaan.

Wartawan kemudian meninjau di lokasi berikutnya di sekitar Plaza Imbi dan Bukit Bintang namun tiada juga kelibat kanak-kanak berkenaan selepas kira-kira sejam berada di situ.

Salah seorang peniaga nasi lemak dikenali Amran, 46, berkata dia pernah melihat kanak-kanak terbabit sebelum ini dan mengakui mereka sering berada di situ untuk meminta sedekah daripada orang yang lalu lalang.

“Selalunya mereka sudah ada pada waktu begini (jam 11 pagi) tetapi hari ini tiada pula.

“Saya memang pernah melihat mereka berlegar di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga dikenali Samad, 49, berkata dia juga pernah melihat kanak-kanak peminta sedekah yang tular di laman sosial itu pada hari tertentu.

“Ada hari, dia dan rakannya memang ada di sini cuma tidak tentu masa. Kadang ada, kadang tiada,” katanya.

Seterusnya, wartawan dan jurugambar meninjau di sekitar pusat beli-belah terkemuka dan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang namun yang ada hanya orang ramai dan peminta sedekah dewasa dipercayai bukan warga tempatan.

Seorang peniaga kedai gajet dan aksesori, Arash Arshad, 33, yang ditemui berkata, kali terakhir dia melihat kanak-kanak itu adalah pada malam menjelang Tahun Baru dan 1 Januari lalu.

“Saya pernah melihat kanak-kanak itu kerana memang ini kawasan dia meminta sedekah.

“Cuma, dia selalu ada di sini pada hujung minggu, selalunya pada waktu petang,” katanya.

Sebelum beredar, wartawan memandu di sekitar laluan dan lampu isyarat dekat Jalan Sultan Ismail, di sini yang juga menjadi kawasan kumpulan kanak-kanak terbabit meminta sedekah namun tiada juga kelibat mereka kelihatan.

Sejak beberapa hari lalu, tular di laman sosial video kanak-kanak dipercayai warga Rohingya meminta sedekah daripada pemandu kenderaan di tengah kesibukan jalan raya di ibu kota.

Menerusi video yang tular, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berjalan menghampiri sebuah kereta kemudian mengetuk pintu dan tingkap sambil menunjukkan jari telunjuknya dengan wajah bengis.

Dia turut bertindak agresif ketika meminta sedekah di lokasi lain dalam satu rakaman video yang berlainan.

Menerusi satu lagi video yang tular, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki lain menunjukkan isyarat lucah ketika meminta wang daripada pengguna yang memandu di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Insiden itu berlaku ketika jalan sesak disebabkan hujan lebat.

SUMBER: HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *