PETALING JAYA – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah adalah amanah dan bukan ghanimah atau harta rampasan perang.
Beliau berkata, ia adalah satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.
“Saya dengan rendah hati bersyukur kepada Allah di atas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
“Terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) untuk berada dalam Kabinet,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ini mampu menangani cabaran-cabaran perlu ditempuhi demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.
“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat. Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.
“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua.
“Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara. Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia,” ujarnya.
Berikut senarai penuh Kabinet Campuran Nasional yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.

Anwar mungkin sukar jelaskan pelantikan Zahid
Pelantikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri mungkin untuk menenangkan kumpulan pro-Pakatan Harapan (PH) dan pro-Perikatan Nasional (PN) dalam parti itu.
Pemerhati dan penganalisis politik tempatan, Mujibu Abd Muis berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mungkin berhadapan kesukaran untuk menerangkan alasan pelantikan Ahmad Zahid sebagai sebahagian anggota Kabinet yang diterajuinya.
Menurut beliau, Ahmad Zahid kemungkinan akan menjadi bebanan terberat kepada pentadbiran Anwar.
“Selepas melihat pengumuman bila Zahid menjadi menteri Kabinet nampaknya akan backlash (tindak balas negatif)
“Masalah bagaimana pelantikan ini cuba diterangkan oleh Kerajaan Datuk Seri Anwar dari segi persepktif untuk menenangkan UMNO supaya tidak ada perpecahan kumpulan dan puak yang pro-PH dan pro-PN yang bertelagah,” katanya.
Beliau turut melihat terdapat sedikit kelemahan dalam Kabinet yang diumumkan Anwar selepas tidak ada mana-mana ahli Parlimen daripada parti Warisan yang diangkat sebagai menteri.
Menurut Mujibu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal wajar dilantik sebagai salah seorang anggota Kabinet.
“Bila tengok Sabah tiga wakil Warisan tidak ada mungkin bagi saya sedikit mengecewakanlah.
“Memandangkan Warisan ada Datuk Seri Shafie Apdal sebagai presiden dan mempunyai pengalaman yang baik untuk diserapkan dalam Kabinet Perpaduan tetapi tidak berlaku,” jelasnya.
Dalam pada itu Mujibu berkata, jumlah 28 menteri yang diumumkan Anwar malam ini adalah satu saiz sederhana dan seimbang seperti yang disasarkan sebelum ini.
Jumlah tersebut jika ditambah dengan jawatan timbalan menteri mungkin mencapai 50 hingga 60 anggota.
Selain itu terdapat lima ahli Parlimen wanita diangkat sebagai menteri dan merupakan percampuran antara muka lama dan baru.- MalaysiaGazette
Apa kata anda? Kongsikan bersama kami