Keutamaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengumumkan barisan Jenaah Menteri atau Kabinet petang ini adalah memanggil mereka yang dilantik ke mesyuarat khas, Isnin ini bagi mengumumkan beberapa peraturan baharu.
Perdana Menteri berkata, antara peraturan yang akan ditetapkan adalah berkaitan cara mengurus kementerian, cara mendampingi dan bekerjsama dengan penjawat awam, penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengunguman berkaitan dasar serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.
“Bagi saya, keutamaan sebaik disusun (diumum) Jemaah Menteri (petang ini), saya akan panggil mesyuarat khas pada Isnin ini untuk tetapkan beberapa peraturan baharu bagi Jemaah Menteri,” katanya
Ahmad Zahid, Fadilah dilantik sebagai TPM
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelantikan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk manakala Fadilah merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya diumumkan oleh Anwar dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Kewujudan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah julung kali diadakan setelah mengambil kira penyertaan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan perpaduan.
Anwar juga memaklumkan Ahmad Zahid dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Fadilah pula sebagai Menteri Komoditi.
Sebelum ini, sewaktu sidang media pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri kerajaan perpaduan masing-masing akan diisi wakil BN dan GPS selaku parti terbesar selepas PH.
Setakat ini, kerajaan perpaduan disertai PH yang mempunyai 82 kerusi dan diikuti BN (30), GPS (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta disokongan parti-parti lain sekali gus kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga ahli Parlimen. –

Zahid sebagai TPM akan kukuhkan kerajaan Anwar
Melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri akan mengukuhkan lagi kerajaan perpaduan, dan bukan menjejaskan kestabilan pentadbiran itu.
Malah, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi berkata Zahid adalah “kunci utama” kepada pembentukan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Sebab itu melantik Zahid akan mengukuhkan lagi kerajaan perpaduan hingga tamat tempoh. Zahid komited kepada kerajaan perpaduan. Dia kunci utama.
“Menolak Zahid akan mengancam kestabilan Umno. 130 Ketua Bahagian bantah Zahid letak jawatan. Itu signal penting. Anwar perlu kerajaan stabil untuk membawa perubahan,” kata Puad dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Dia mengulas kenyataan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin yang mendakwa bahawa Anwar akan melakukan harakiri jika dia memilih Zahid sebagai timbalan perdana menteri atau melantiknya ke mana-mana jawatan dalam kerajaannya.
‘Beri Anwar masa’
Puad seterusnya menggesa Anwar diberi masa yang secukupnya untuk mentadbir negara.
“Cukup lima tahun beri balik mandat kepada rakyat untuk memilih. Tiada Langkah Sheraton atau tebuk atap. Jalan terus,” katanya.
Sebaliknya menurut Puad, dalang di sebalik naratif “kluster mahkamah Umno” ialah bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
“Persepsi kluster mahkamah adalah konspirasi tertinggi tajaan Mahathir untuk bunuh Umno. Pertuduhan selektif dan puluhan pertuduhan bertujuan membina persepsi buruk kepada Umno.
“Ini yang mahu diteruskan oleh Kadir Jasin. Matlamat Kadir ialah kerajaan perpaduan jangan stabil. Dia dan Mahathir mahu terus bunuh Umno walaupun Mahathir hilang deposit di Langkawi,” katanya.
Negara sedang menunggu pembentukan kabinet baru, seminggu selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Dengan tiada parti mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Anwar terpaksa bergantung kepada sokongan BN untuk menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun, pelbagai pihak menentang saranan agar Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri, berikutan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang belum selesai terhadapnya.