KOTA BHARU: “Belum mati, tapi sudah kena tanam,” itu respons bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengenai pemecatannya daripada parti itu tanpa sebarang pemakluman.
Advertisement
Annuar berkata, sehingga ke hari ini beliau belum menerima sebarang surat rasmi berhubung perkara itu walaupun sudah tiga hari dipecat daripada parti tersebut.
Menurutnya, pemecatan itu hanya diketahui melalui media sosial pada jam 11 malam kelmarin ketika berada di pejabat selain dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp Ketua Badan Perhubungan UMNO.
“Saya tidak tahu kenapa dibuang daripada parti dan tidak ada salah apa-apa. Sedangkan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang (Datuk Akbar Salim) tahu awal.
“Rupanya begini dalam politik, umpama tidak sempat mati tetapi kena tanam,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, di sini hari ini.

Setiausaha Agung UMNO itu memberitahu, pemecatannya dianggap memecahkan rekod apabila dihukum tanpa dipanggil atau dimaklumkan terlebih dahulu termasuk oleh Lembaga Tatatertib UMNO.
“Sebelum ini saya dipecat dari jawatan Setiausaha Agung UMNO dan saya senyum. Malah tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pun saya masih senyum.
“Saya jalan terus kerana saya ini orang perjuangan. Saya masuk dengan baik dalam UMNO sejak 43 tahun lalu dan saya mahu keluar dengan baik,” ujarnya.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengucap terima kasih kepada UMNO Bahagian Ketereh kerana menyokong perjuangannya selama ini dan berpesan agar mereka terus kekal bersama parti.
Dalam perkembangan lain, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mengumumkan Kompleks YKK yang turut menempatkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh akan ditukarkan menjadi Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) Negeri Kelantan kelak. – UTUSAN