Uncategorized

Baru Je Zahid Arah Pelantikan Semula Pengerusi Felcra Dipercepat, Sekali Ini Tindakan PM Anwar Buat Ramai Setuju

Putrajaya: Pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Disember lalu, ditangguhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memang sudah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) dan ditangguhkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Terdahulu Anwar ditanya sama ada pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra dilihat melanggar arahan Kabinet selepas diputuskan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta pada 15 Disember lalu.

Pada 16 Disember lepas, Ahmad Zahid memaklumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Bhd.

Anwar dalam pada itu berkata, terdapat kekeliruan mengenai soal lantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan.

“Cuma ada kekeliruan, saya tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terbabit politik itu menjadi pengurusan, tetapi (sebaliknya) mesti terikat dengan syarat-syarat, dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan,” katanya.

Anwar berkata, mungkin ada beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang akan ditugaskan, tetapi kerajaan menetapkan kaedah mengenai tahap keupayaan dan profesionalism serta soal prestasi sebelumnya, pematuhan kepada peraturan dan tatakelola yang ditetapkan.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan garis panduan berkaitan lantikan politik, beliau berkata, kerajaan membuat keputusan menghentikan semua lantikan politik bagi memberi ruang untuk menilai prestasi supaya mereka yang dilantik kelak tunduk kepada garis panduan yang ditetapkan.

“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu umpamanya syarikat induk hadapi masalah kewangan tetapi syarikat kecil keuntungan besar dan beri bonus besar, hal-hal ini harus kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya.

Ahmad Jazlan dilantik semula pengerusi Felcra

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra.

Zahid berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Beliau berkata, biarpun Jemaah Menteri memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada (Datuk) Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan menteri kemajuan desa dan wilayah.

“Menteri sudah bersetuju atas arahan timbalan perdana menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” katanya menurut Berita Harian.

Felcra Berhad pada 3 Okt tahun lalu mengumumkan pelantikan Jazlan sebagai pengerusi baharunya.

Lembaga Pengarah Felcra Berhad berkata, pelantikan Jazlan, 58, adalah langkah strategik bagi memacu komitmen pengurusan tertinggi dalam menjayakan pelan transformasi dan hala tuju ke arah kelestarian syarikat.

Khamis lalu, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, mengeluarkan pekeliling kepada ketua setiausaha setiap kementerian mengatakan Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penamatan serta-merta kontrak lantikan politik.

Menerusi surat berkenaan, penamatan itu membabitkan jawatan bagi badan berkanun persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

MGNews: Zahid Arah Pelantikan Semula Pengerusi Felcra Dipercepat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *