Uncategorized

“Berhenti guna nama VE, cukuplah di GV9 sahaja” -Zaf beritahu kenapa dia tak izin terus guna nama VE

Kuala Lumpur: Ketua kumpulan yang juga ahli asal VE iaitu Zaf memberi saranan agar anggota yang menggunakan nama terbabit dalam Gegar Vaganza 9 (GV9) supaya bergerak dengan menggunakan nama baharu.

Menurutnya, tindakan ini dilakukan bukan untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya bertujuan menjaga hubungan silaturahim antara mereka selain mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelbagai pihak.

“Sebagai orang yang menubuhkan VE, saya bertanggungjawab terhadap kumpulan ini, VE adalah VE. Nama, reputasi dan hasil kerja kumpulan itu dibina dengan susah payah.

“Jadi, cukup 11 minggu digunakan, adalah lebih baik mereka bergerak ke hadapan sebagai kumpulan baharu dan nama baharu. Itu lebih baik buat mereka.

“Di sini saya mohon semua pihak menerima keputusan ini, biarlah kita saling menghormati supaya hubungan silaturahim tidak terus keruh,” katanya menerusi sesi sidang media secara Google Meet di sini, semalam.

Zaf atau nama sebenarnya Zafri Nazaruddin menjelaskan keadaan bermula sejak VE terpilih menyertai GV9 yang mencetuskan konflik sesama mereka.

“Saya orang yang berurusan dengan Astro untuk VE menyertai GV, namun diketepikan secara tiba-tiba tanpa alasan.

“Bagaimanapun saya mahu menjaga keadaan dan memilih untuk tidak bersuara ketika GV9 sedang rancak kerana enggan mengganggu mana-mana pihak.

“Saya tidak keluarkan kenyataan berkenaan status saya kerana menghormati mereka dan stesen produksi iaitu Astro,” katanya.

Menurutnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuknya bersuara berkenaan isu ini.

“Beberapa syarat sudah dipersetujui termasuk saya boleh muncul dalam pertandingan meskipun terikat dengan komitmen lain.

“Mereka wujudkan kumpulan WhatsApp lain tanpa saya di dalamnya. Saya tidak tahu menahu perkembangan mereka, malah diketepikan sepenuhnya termasuk membabitkan pengambilan ahli baharu.

“Fakhiz sebagai contoh, sepatutnya hanya sebagai pengganti saya, tiba-tiba saya dapat tahu sudah diserap sebagai ahli VE. Sejak bila dan atas persetujuan siapa?”tegasnya.

“Konsep dan apa yang dibawakan oleh kesemua ahli terbabit tidak sama dengan perjuangan muzik dan tahap VE. Mereka bagus dan boleh bergerak dengan lebih baik tapi dengan nama yang baharu. Saya akan sokong, ” katanya.

Anggota asal VE atau Voices Of Euphonious yang ditubuhkan sekitar 1997 ialah Zaf, Abdullah Ahmad (Lah) dan Shahrin Azmir (Shahir).

VE kemudiannya turut dianggotai oleh Damian Mikhail (Damian) dan Charma Adizalilullah Khalil (Cham).

Perjuangan VE dalam GV9 pula digalas oleh Cham, Adeep, Hakim dan Fakhiz dan berjaya menduduki tempat kelima.

kredit: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *