Uncategorized

“Bertindaklah sebagai negarawan, buang jauh mentaliti pembangkang”-Warkah Padu Prof Ridhuan Tee Untuk Perdana Menteri

SAUDARA Anwar Ibrahim,

Hari ini, ketika artikel diterbitkan, saudara sedangkan bersiap sedia untuk mengusulkan undi percaya di Parlimen bagi mendapatkan mandat majoriti dua pertiga sebagai Perdana Menteri (PM).

Melihat kepada situasi politik semasa dan kesungguha saudara, saya yakin saudara akan berjaya. Tahniah terlebih dahulu. Selamat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jayanya.

Cuma, saya ingin memberitahu bahawa, saya mengenali saudara, sejak saya menjadi pemimpin pelajar di UKM (1985-1989). Ketika menjadi pemimpin pelajar, banyak kenyataan saya keluarkan terhadap kepemimpinan saudara, selaku Menteri Pendidikan, pada masa itu.

Selepas menghabiskan pengajian, saya berkesempatan bekerja sebagai penolong pendaftar, di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), sekitar tahun 1990-1993. Biasalah UIA merupakan kubu kuat ABIM hingga ke hari ini.

Ketika di UIA, pergerakan saya dipantau oleh orang kuat ABIM. Antaranya Dr Md Nur Manuty (Dekan HEP) dan Omar Jaafar (Pendaftar). Saudara boleh tanya mereka berdua. Maklumlah, saya tidak sehaluan dengan ABIM. Masa itu, saya baharu sahaja dalam Islam.

Tidak sampai setahun di UIA, saudara arahkan Omar Jaafar (pendaftar UIA ketika itu) membawa saya ke pejabat saudara di Pusat Bandar Damansara. Saya pun dibawa ke pejabat, tanpa mengetahui sebab dan musabab, walaupun terdetik dalam hati, tahu jua apa tujuannya.

Sesampai di pejabat saudara, terus saya dibawa masuk. Saya terus menyapa saudara dengan panggil Yang Berhormat (YB). Saudara, terus memotong, jangan panggil YB, panggil saudara. Sebab itulah, saya gunakan panggilan ‘saudara’ di sini. Maafkan saya.

Setelah bersua muka di pejabat, kita bertaaruf sebentar. Tidak cukup dengan perbualan ringkas di pejabat, saudara bawa saya menaiki kereta, duduk di belakang bersama saudara menuju ke Hotel Dayang (kini namanya Hotel Singgahsana, PJ), kerana saudara ada majlis rasmi di sana.

Ketika dalam kereta, saudara berkata banyak bercakap tentang idealisme dan aspirasi saudara. Saya lebih banyak mendengar sahaja, sambil mencelah ketika perbualan tersebut.

Saya beritahu saudara bagaimana saya, sebagai seorang mualaf, saya ‘dianiayai’ oleh orang ABIM di UIA. Begitu juga ketika di UKM. Tetapi saudara tidak mahu percaya. Itulah yang menyebabkan saya susah sangat nak percaya kepada saudara. Saudara hanya mendengar dan percaya kepada orang ABIM.

Ingin saya tegaskan, tidak semua orang ABIM itu baik. Ada dalam kalangan mereka, terlalu taksub kepada saudara, sehingga tidak dapat membezakan mana yang baik dan buruk.

Hari ini, apabila saudara berkuasa, sebahagian mereka ini jugalah yang lebih sudu daripada garpu. Berhati-hatilah. Lagipun, saudara adalah pengasas ABIM, sudah tentu lebih maklum.

Bezanya, hari ini, saudara adalah Perdana Menteri, mewakili Yang di-Pertuan Agong, memikul amanah jawatan nombor satu negara, ditambah dengan pengalaman memimpin beberapa kementerian dan NGO serta idealisme perjuangan sehingga membawa kepada berada dalam geriji besi, sebelum ini, sudah tentu ia cukup mematangkan.

Saudara adalah negarawan. Saudara kena bertindak sebagai negarawan. Buang jauh-jauh mentaliti pembangkang. Jangan terlalu terikat dengan nasihat orang ABIM sahaja.

Ramai di luar sana yang bukan ABIM, pakar dan professional yang mahu membantu saudara, kerana tidak diperlukan, mereka hanya memerhatikan sahaja.

Kalau boleh, elakkan daripada saman menyaman sana sini, dalam perkara yang tidak penting. Imej ini tidak baik untuk seorang PM.

Sekadar ingin mengingatkan, bahawa kuasa atau jawatan PM di dunia ini hanya sementara. Hari ini mungkin saudara berkuasa, esok belum tentu lagi.

Justeru, gunakanlah kuasa dengan sebaik-baik kerana kita, dunia ini hanya tiga hari, semalam yang tidak akan berulang, esok yang belum tentu lagi apa akan berlaku dan hari ini yang pasti kita tempohi, moga segala amalan kita diterima menjadi ibadah.

Hasan Al Basri mengingatkan, dunia ini terlalu singkat. Wajib bagi kita untuk memanfaatkan waktu dengan sebaik-baiknya demi mencapai matlamat utama dalam kehidupan iaitu mencari redha Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan baik dan menjauhi segala laranganNya. Lebih-lebih lagi, seorang pemimpin nombor satu negara.

Semalam yang tidak akan kembali, sama ada baik suka atau duka, senang atau susah, kita patut mengambil hikmah dan pengajaran dalam menjadikan diri kita lebih mensyukuri apa yang telah kita alami dan apa yang telah kita lakukan, bagaimanapun bentuk dan apa juga hasilnya. Ambil pengajaran dan iktibar.

Sedangkan hari esok, yang belum tentu lagi. Mungkin berlaku sebaliknya. Apakah kita boleh menjamin bahawa kita masih berada di puncak kuasa esok hari? Tidak ada seorang pun dari kita yang mengetahuinya, hanya Allah SWT yang Maha Tahu.

Lantaran, lakukanlah segala perbuatan baik yang disukai oleh Allah SWT dan RasulNya, dengan sebaik-baiknya, kerana kita tidak akan pernah tahu apakah kita akan dapat berjumpa kembali dengan hari esok untuk melakukan segala bentuk ibadah kepada-Nya, atau mungkin ia menjadi hari terakhir untuk kita melakukan kebaikan tersebut.

Seterusnya, hari ini, merupakan hari untuk kita melakukan yang terbaik, memperbanyakkan amal kebaikan. Ambil kesempatan sebaik-baiknya, terlalu mahal harganya untuk saling sakit-menyakiti. Amanah menjadi PM terlalu besar untuk dibincangkan di sini.

Lalui tiap detik yang berlalu dengan menjadikan kerja sebagai ibadah kerana belum tentu amalan dan ibadah yang telah kita lakukan itu dapat membawa kita menuju syurgaNya kelak.

Sebagai PM, jangan pernah sia-siakan masa kita untuk perkara yang tidak bermanfaat dan kurang penting. Selagi kita diberikan nikmat sihat, maka sempurnakanlah amalan dan ibadah kita hanya kepada Allah SWT.

Jadikan pembangkang itu sahabat kita, bukan musuh kita. Kenali siapa sebenar sahabat, siapa musuh.

Justeru, gunakanlah ruang dan peluang yang ada, dalam mendapatkan redha Allah. Kawallah Menteri dan timbalan yang dilantik agar dapat mencerminkan imej saudara yang dilabelkan sebagai ‘islamik’.

Jangan biarkan mereka bermaharajalela dengan kuasa yang ada, kerana ia hanya akan merosakkan imej saudara dan mungkin esok saudara tidak berkuasa lagi dek kerana mereka ini.

Isu saya ‘digam’ adalah perkara kecil yang tidak perlu saya rayu di sini. Saya sudah lali dengan semua ini. Siapalah saya yang kerdil ini. Cuma sedikit terkilan dengan mentaliti menteri yang dilantik.

Paling menyedihkan bila ada menteri turut terpengaruh dengan tuduhan sekolah agama swasta, seperti PASTI dan SRITI menanamkan benih ekstremisme dan perkauman. Sudahkah kajian dibuat? SJKC dan Sekolah Persendirian berasaskan kaum bagaimana pula?

Sekali lagi saya ingatkan, kita hanya ada tiga hari, semalam, esok dan hari ini. Manfaatkan sepenuhnya, kerana esok belum tentu ada, seperti juga esok untuk siapa atau adakah esok masih ada? Lakukanlah, beberapa perkara penting yang saudara janjikan untuk agar tiga hari tersebut dimanfaatkan menjadi ibadah.

Pertama, integriti. Pandulah negara ini dengan penuh integriti, seperti yang saudara janjikan. Bersihkan negara ini daripada amalan najis rasuah, salah laku dan salah guna kuasa.

Mereka yang terlibat, mesti dibawa ke neraca pengadilan tanpa mengira siapa. Pastikan tidak ada yang terlepas meskipun melibatkan rakan sekabinet atau sesiapa sahaja. Tidak ada pilih kasih. Kes-kes yang sedia ada sangat jelas, rakyat sedang memerhatikan dan menantikannya.

Pastikan slogan masyarakat Madani, seperti yang saudara laungkan dahulu, benar-benar menjadi realiti. Tidak cukup sekadar bercakap soal tidak mengambil gaji sebagai PM. Banyak perkara selain daripada gaji yang perlu diperbetulkan.

Kedua, paculah negara ini menjadi sebuah negara yang ada identiti dan jati diri, berpaksikan perlembagaan. Antara perkara yang menyerlah adalah soal, Islam, Melayu dan Bumiputera (dan hak mereka), Bahasa Melayu, dan Raja-raja Melayu, tanpa menafikan hak bukan Islam.

Pastikan identiti dan agenda nasional ini tidak diganggu-gugat. Pastikan Malaysia, yang berakarumbikan nama Tanah Melayu, tidak hilang begitu sahaja. Perlembagaan Persekutuan adalah asas panduan hidup bernegara.

Ketiga, jangan tinggalkan kerja dakwah. Jika Tunku Abdul Rahman, berjaya mengIslamkan seorang dua Menteri di bawahnya, pastikan saudara juga boleh melakukannya lebih dari itu, dengan mempamerkan imej Islam yang terbaik.

Keempat, kehebatan seseorang pemimpin adalah dengan amar makruf nahi mungkar. Seru kepada kebaikan dan cegah kemungkaran. Selamatkan anak muda kita. Hidup berpaksikan agama dan berjatidiri. Jangan biarkan gerakan hak asasi manusia sehingga menenggelamkan amalan amar makruf nahi mungkar.

Kelima, keadilan untuk Adib. Pimpinan kerajaan yang silih berganti, masih belum berjaya memberikan keadilan untuk Adib. Jika saudara, benar-benar memperjuangkan keadilan, lakukanlah dengan segera untuk memberikan keadilan untuk Adib.

Keenam, buat kajian dan lakukan reformasi terhadap sistem pendidikan negara ini, terutama sistem Pendidikan dasar, yang memisahkan anak-anak sejak kecil lagi, melibatkan sekolah vernakular dan sekolah swasta (UEC) berasaskan kaum.

Buat kajian kenapa sekolah sebegini tidak dapat menguasai agenda hidup bernegara, terutama melibatkan bahasa negara serta pembinaan jati diri. Sejauh mana ia menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

Terlalu ramai rakyat negara ini yang masih tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa negara dengan baik sebagai alat perpaduan.

Jangan terlalu fokus kepada PASTI dan SRITI, hanya kerana ia dikaitkan dengan PAS. Elakkan sakit menyakiti. Banyak lagi sekolah berasaskan kaum, yang dipunyai oleh NGO yang perlu diberikan tumpuan khusus.

Tidak perlu terlalu risau dengan sekolah berasaskan agama (Islam). Percayalah, selagi orang Islam faham akan agama Islam, mereka tidak akan menjadi ekstrem dan perkauman. Dalam kata lain, semakin faham mereka terhadap Islam yang sebenar, semakin selamatkan orang bukan Islam dan hak mereka.

Sejarah telah membuktikannya. Mana ada satu bangsa di dunia ini bersedia menerima orang yang mendatang negara ini sebegitu ramai, kecuali orang Melayu. Cari jawapannya kerana apa? Islam mengajar kita semua itu.

Ketujuh, lakukan segera reformasi ekonomi negara ini seperti yang saudara janjikan agar tidak ada lagi rakyat mengadu lapar, perut tidak diisi. Saudara sudah tentu lebih maklum bagaimana untuk melakukannya dengan pengalaman dan pakar yang ada.

Paling penting, pastikan kebajikan rakyat terpelihara. Contoh, isu telur, isu yag kecil sahaja, tetapi sehingga ke hari ini tidak dapat diselesaikan.

Justeru, dengan contoh kecil ini, pastikan, selepas ini, semua ayam bertelur. Jika ada bapak ayam yang menyembunyikan telur, bawa mereka kepada pengadilan.

Malu sekali jika bercakap tentang ekonomi, masalah kecil seperti telur tidak dapat diselesaikan secara tuntas. Ini baharu telur, belum lagi isu bukan telur yang jauh lebih utama, saudara sedia maklum.

Cukuplah sekadar ini dahulu. In shaa Allah, saya akan terus bersuara, dari masa ke semasa. Selamat mendapatkan undi majoriti dua pertiga dan selamat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan integriti.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Sebelum ini kecoh di media sosial mengenai tangkap layar sebuah grup dari aplikasi WhatsApp mendedahkan penceramah tersohor, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah telah disekat menjadi panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *