Bisht Dipakai Messi Pada Piala Dunia Ditawar US$1 Juta. Orang Yang Nak Beli Bukan Biasa2

BERLIN, 25 Dis (Bernama) — Seorang peguam dari Oman berhasrat membeli bisht yang dipakai bintang bola sepak Argentina Lionel Messi pada majlis anugerah Piala Dunia dengan harga US$1 juta.

“Daripada Kesultanan Oman, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana memenangi Piala Dunia Qatar 2022. Bisht adalah simbol kesatria dan kebijaksanaan. Saya menawarkan anda US$1 juta untuk membeli bisht itu,” menurut ciapan Ahmed al-Barwani di Twitter, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Ketua negara Qatar, Emir Tamim bin Hamad Al Thani menghadiahkan jubah berkenaan kepada Messi untuk dipakai pada majlis anugerah itu.

Terdapat kritikan dari media Barat yang menyifatkan saat kemenangan itu bukan lagi milik juara dunia baharu itu – tetapi juga milik negara tuan rumah kerana jersi Argentina ditutup dengan jubah berkenaan.

Pengguna di rangkaian sosial bertindak balas terhadap kritikan itu.

“Saya berada di stadium menonton detik itu secara langsung apabila emir Qatar menyarungkan bisht kepada Messi,” kata al-Barwani kepada akhbar The National.

“(Bisht) adalah simbol kepada banyak perkara termasuk kebijaksanaan, keberanian, integriti, kemurahan hati serta keaslian dan yang paling penting, ia identiti kita,” kata al-Barwani.

Jika al-Barwani berjaya dengan bidaannya, bisht itu tidak akan dipakai sebaliknya akan dipamerkan.

“Ia akan dipamerkan untuk memperingati detik kebanggaan itu, dan juga untuk mengingatkan kita bahawa kita boleh (melakukan apa sahaja),” katanya kepada The National.

Bisht ialah jubah panjang yang dipakai golongan lelaki di negara-negara Teluk dan Iran bagi majlis-majlis khas.

Meskipun begitu, kedengaran pula ‘suara-suara sumbang’ di portal-portal berita dan sukan negara Barat yang sengaja mempersoalkan tentang pemakaian jubah yang ‘terpaksa’ dipakai oleh Messi ketika itu.

Di laman Facebooknya, Arshad Mahmood telah membuat hantaran berikut bagi menjelaskan perkara yang sebenar kepada seluruh dunia mengenai salah faham dan kekeliruan yang berlaku di Qatar itu.

Jom kita baca apakah sebenarnya maksud di sebalik simboliknya pemakaian jubah tersebut.

Terdapat beberapa ulasan yang dibuat oleh pihak tertentu dalam talian, yang sesetengahnya agak menghina, mengenai jubah hitam yang Lionel Messi pakai sebelum menjulang Piala Dunia. Untuk konteks, saya ingin menjelaskan kepentingannya.

Pakaian ini dipanggil ‘bisht’ dan ia adalah pakaian luar yang dipakai di kebanyakan negara-negara Arab. Nama ini berasal daripada perkataan Akkadia ‘bishtu’ yang bermaksud ‘nobiliti’ atau ‘prestige’.

Pakaian ini dianggap sebagai simbol penghormatan besar. Ia adalah simbol status di kalangan diraja, orang kaya dan mereka yang mempunyai pangkat sosial yang tinggi, sama seperti salib antara jubah graduasi upacara atau, dalam istilah Barat, memakai tuksedo hitam pada majlis khas.

Apabila Emir sebuah negara secara harfiahnya memberikan anda bist, menyarungkannya pada anda dengan tangannya sendiri, ia merupakan satu penghormatan tertinggi yang boleh diberikan kepada orang awam. Ia tiada kaitan langsung dengan agama.

Messi mungkin tidak faham apa maksudnya apabila dia memakainya dengan begitu anggun, tetapi inilah sebenarnya cara Qatar untuk mengiktiraf dirinya sebagai GOAT yang sebenar.

– Sara

Rupanya, Jubah tersebut adalah ‘bisht’ iaitu pakaian tradisional Arab yang merupakan simbol status orang hebat atau kaya.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *