Kuala Lumpur : Walaupun berpeluang untuk hamil, penyanyi dangdut popular, Mas Idayu cuba untuk mengelak memandangkan usianya sudah mencecah 50 tahun.
Mas Idayu berkata, dia mengaku masih subur, namun enggan mengambil sebarang risiko yang boleh membahayakan kesihatannya.
“Dari dulu lagi saya nak anak lelaki dan saya sukakan kanak-kanak. Namun, di usia sekarang ini saya perlu elakkan daripada terdedah dengan risiko yang boleh membahayakan diri.
“Bukan peluang (hamil) itu tiada, tapi saya sedikit menghalang supaya saya kekal sihat. Lagipun saya kahwin ini untuk gembira, bahagia serta saling menjaga antara satu sama lain. Bukan kahwin untuk sakit.
“Alhamdulillah suami pun faham dan dia sendiri mengaku jika saya hamil akan membahayakan diri saya,” katanya.

Menurut Mas Idayu, dia tidak pernah menolak rezeki Allah, namun jika perkara itu boleh dirancang dia sebolehnya enggan hamil.
“Bayangkan kalau saya dikurniakan anak, dengan usia yang semakin bertambah dan tua serta risiko lain yang perlu saya hadap.
“Macam mana saya nak jaga anak. Kalau saya tiada macam mana? Banyak faktor yang kami berdua fikir, tapi kami tak pernah menolak rezeki Allah,” katanya.
Pada 16 September lalu, Mas Idayu bernikah kali kedua dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, yang mendapat tajaan majlis perkahwinan daripada beberapa pihak bernilai RM7 juta sekali gus digelar ‘wedding of the year’.
Hanya tiga kali bertemu suami sepanjang kahwin
KUALA LUMPUR: Biarpun hampir tiga bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi dangdut sensasi, Mas Idayu, 50, mendedahkan hanya sempat bertemu suami tiga kali sepanjang perkahwinan.
Justeru, tidak hairan Mas Idayu kelihatan malu-malu di hadapan suami yang juga penerbit eksekutif program Famili Duo, Muhammad Sufian Che Isa, 51, ketika majlis sidang media, baru-baru ini.
Mas Idayu berkata, dia dan suami jarang dapat bersama berikutan kekangan tugasan masing-masing.
Tambahan pula, katanya, dia perlu berulang alik ke Kuching, Sarawak kerana terbabit dengan program Getaran Jiwa, setiap minggu.
Namun, kata Mas Idayu, dia bersyukur suami memahami kesibukan jadualnya, malah mendapatkan keizinan sebelum menerima sesuatu tawaran.
“Sejak zaman bercinta sehingga hendak berkahwin dan kini, suami isteri, kami jarang dapat berjumpa. Ini kerana jadual kerja masing-masing terlalu sibuk.
“Cuma, apa berbeza sekarang, jika suami pulang ke rumah saya di Shah Alam, kami tidak perlu menjaga batas kerana sudah sah bergelar suami isteri.
“Kami jarang dapat meluangkan masa bersama lebih tiga hari. Kadang kala, kami hanya sempat berjumpa sekejap seperti makan tengahari. Itu pun sudah cukup asalkan dapat meluangkan masa berkualiti bersama,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Cintaku 100% itu berharap dapat meluangkan lebih banyak bersama Ramadan nanti.
“Besar harapan kami dapat menjalani ibadah bersama pada Ramadan ini,” katanya.
Mas Idayu yang juga juri tetap program Famili Duo berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaannya dengan suami. Malah, positif dengan setiap hantaran bersama suami yang dimuat naik dalam Instagram.
Mengulas sifat manja sering ditonjolkan di laman sosial, Mas Idayu mengakui, dia memang seorang yang sangat manja terutama bersama bapa dan adik-beradiknya.
Baginya, bukan satu kesalahan apabila bermanja dengan suami kerana itu memang sifatnya.
“Saya tidak kisah orang hendak cakap apa, Dahulu, saya hidup seorang, jadi bila sudah berpasangan barulah keluar perangai sebenar saya.
“Suami seorang yang tegas ketika bekerja, tetapi di sebalik ketegasannya, suami sangat memanjakan saya. Suami juga seorang yang manja.
“Selepas masuk ke dalam keluarga saya, barulah suami tahu perangai kami. Ini kerana kami sangat akrab dan dia melihat bagaimana bapa dan adik-beradik lelaki manjakan saya,” kata Mas Idayu.
Terdahulu, Mas Idayu mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Muhammad Suffian pada Hari Malaysia, 16 September lalu.
Sebelum ini, penyanyi asal Johor itu pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor, Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.
kredit:hmetro