Uncategorized

Bukti Anwar goyah, Muhyiddin akhirnya jelaskan kenapa

SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, perjanjian itu bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki ahli-ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.

“Saya memandang serius perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan PH yang mewajibkan ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat.

“Ini termasuk undi percaya kepada Perdana Menteri. Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Menerusi matlamat perjanjian tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Muhyiddin, undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pengundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

“Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti,” ujarnya.

Beliau berpandangan berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas maka Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH itu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

“Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini,” ujarnya.

Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan sekiranya perjanjian itu dianggap sah maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa ahli-ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang termasuk berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

“Ini kerana sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti dua per tiga ahli-ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat,” katanya.

Tambah Muhyiddin, sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) itu dianggap sah maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) ahli-ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

“Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik,” jelas beliau.

Sementara itu, Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh berkata, Mesyuarat Jawatankuasa PN pada Ahad akan membincangkan pendirian gabungan parti itu mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, walaupun beliau yakin sebahagian besar ahli Parlimen daripada PN tidak akan menyokong usul berkenaan, namun keputusan sama ada menyokong atau sebaliknya tidak boleh dipaksa.

“Saya sudah dapatkan pandangan daripada peguam, apa yang telah disebutkan sebagai MoU yang kalau ahli Parlimen tidak sokong usul tersebut, (adakah) kedudukan (mereka sebagai ahli Parlimen) akan terhenti atau dikosongkan?

“Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu boleh dilaksanakan, kecuali lompat parti,” katanya kepada pemberita di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tindakan yang boleh diambil terhadap ahli Parlimen PN yang menyokong usul berkenaan adalah tindakan disiplin oleh parti dan bukannya diberhentikan atau kosongkan kerusi ahli Parliman yang disandang.

Pada 11 Disember lepas, Anwar dilaporkan berkata, usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen.

kredit: astro awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *