Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat ketandusan modal dengan menjadikan serangan politik terkait Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengkritik kerajaan.
Justeru, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abd Halim, berkata bekas Perdana Menteri itu sepatutnya berhenti berbuat demikian kerana ia sekadar luahan tidak puas hati dengan keputusan PRU15.
Katanya, sebagai pemimpin politik utama, Muhyiddin sepatutnya menerima keputusan PRU15 dan bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan penyelesaian masalah dihadapi rakyat.
“PRU15 sudah tamat, tidak perlulah keluarkan kenyataan berbentuk serangan politik, ini menunjukkan beliau (Muhyiddin) ketandusan modal.
“Kerajaan kini sudah pun ‘move on’ dan seminggu ini memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat seperti kos sara hidup serta harga barang keperluan asas,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa PH dan BN melakukan ‘penipuan pilihan raya terbesar’ pada PRU15.

Muhyiddin ketika mengulas kemenangan PN di PRU15 Parlimen Padang Serai, berkata kejayaan PN di Padang Serai disifatkan sebagai tanda positif sokongan padu rakyat kepada PN, sekali gus mereka teruja dengan gabungan BN dan PH.
Adam Adli turut mengingatkan Muhyiddin bahawa Kerajaan Perpaduan terbentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong, selepas Muhyiddin menolaknya untuk memilih menjadi pembangkang.
Katanya, Muhyiddin perlu memberi tumpuan untuk menjadi ketua pembangkang, bukannya mengeluarkan kenyataan tidak memberi keuntungan kepada rakyat.
“Bantu kerajaan berikan kritikan membina, bukan serangan politik dan senyap apabila membincangkan isu sebenar rakyat,” katanya