Kuala Lumpur: Pelakon Fatin Afeefa selamat melangsungkan majlis pernikahan dengan lelaki pilihan hati dikenali Aliff Awang yang diadakan di Putra Glass Hall, Subang Jaya, Selangor, malam ini.
Menurut sumber, pasangan terbabit selamat bergelar suami isteri kira-kira jam 8.40 malam dengan sekali lafaz.
Berita gembira itu turut dikongsikan jurusolek terkenal iaitu Datuk Alha Alfa yang bertindak mencantikkan pengantin perempuan.
“Fatin Afeefa, congrats dear!” tulis Alha secara ringkas menerusi video dirinya sedang menyiapkan Fatin yang memakai busana pengantin serba putih.
Dalam hantaran berbeza, Alha turut memuat naik foto Fatin yang kelihatan jelita selepas mendapat sentuhan jurusolek terkenal itu.
“Terima kasih kerana mendapatkan khidmat saya,” tulisnya.
Dalam pada itu, Aliff menerusi Instagram Story miliknya turut memuat naik video ‘boomerang’ dengan berpakaian lengkap baju Melayu serba putih.
Malah tinjauan Harian Metro di Instagram rakan Aliff bernama Alpha Arash turut memaklumkan sahabatnya bakal menamatkan zaman bujang.
“Selamat tinggal zaman bujang sahabatku Aliff Awang,” tulisnya dalam video yang dimuat naik di Instagram Story.
Sehingga kini Fatin tidak memuat naik sebarang perkongsian mengenai hari bahagianya itu.
Bulan lalu Fatin seolah-olah memberi bayangan sudah bergelar tunangan orang.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya, Fatin berkongsi video yang menunjukkan majlis menyarung cincin antara dua wanita tanpa menunjukkan wajah seakan-akan dalam satu majlis merisik atau bertunang.

Dengan sekali lafaz, Fatin dan Aliff bergelar suami isteri, jam 8.40 malam tadi dalam majlis akad nikah secara tertutup.
Gila bayang? Saya tak cemburu pun dia nak kahwin – Adam Shahz
Terdahulu Pelakon, Adam Shahz, 41, menafikan dia cemburu apabila bekas isterinya, pelakon, Fatin Afeefa dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, tidak lama lagi.
Menurut Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani, dia tidak lagi ambil peduli kehidupan peribadi bekas isterinya selepas mereka berpisah kerana masing-masing sudah membawa haluan sendiri.
“Bila masa pula saya gila bayang? Saya langsung tidak kisah memandangkan masih mampu bekerja untuk mencari rezeki. Dia ada mesej cara baik, baru-baru ini untuk minta sijil cerai. Saya permudahkan urusan dia.
“Selama ini, ada saja yang tidak kena antara kami. Bahagian mana yang saya cemburu? Itu kehidupan masing-masing, lagipun kami sudah lima tahun bercerai.
“Sekarang ini, saya hanya fikirkan mengenai anak, tidak perlu perkara seperti ini dijadikan isu. Itu rezeki masing-masing. Jika Allah takdirkan dia hidup senang, itu rezeki bekas isteri,” katanya.
Pelakon siri drama Juvana itu berkata, dia juga tidak ada masalah untuk hadir ke majlis perkahwinan bekas isterinya itu sekiranya dijemput.
“Sebelum ini, saya pernah cakap, tiada apa-apa isu. Jika dia mahu kahwin, kahwinlah. Demi Allah! Orang ramai kata saya ‘meroyan’ sebab dia mahu mendirikan rumah tangga.
“Kalau dia jemput, saya datang. Apapun yang terjadi, dia tetap emak kepada anak saya. Saya senang saja, jangan merumitkan,” katanya.
Adam bagaimanapun mendakwa, sejak kemelut antara mereka berlaku, dia sukar bertemu anaknya, Ivy Herra Sophia.
Justeru, dia membuat keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah, namun enggan mendedahkan butiran mengenai perkara itu.
Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013, tetapi berpisah pada 30 Mei 2017.
Fatin Afeefa, semalam mengumumkan nekad membuat keputusan meninggalkan industri hiburan kerana enggan terus berhadapan tohmahan yang boleh menjejaskan emosi anak-anaknya.
kredit: bharian