Uncategorized

Mat Sabu Tak Sangka Jadi Menteri Pertanian. Dia Beritahu Kementerian Mana Dia Patut Bertugas Sebenarnya

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu memberitahu bahawa beliau tidak menyangka akan dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menurut Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu, beliau sebaliknya mengagak akan dipilih menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sebelum ini saya teribat dalam banyak hal pertahanan dan saya mengagak KDN (Kementerian Dalam Negeri) tetapi pergi ke ‘food security’.

“Bagaimanapun, kita dalam satu pasukan Kabinet yang mana sebarang kekurangan akan dibincang secara bersama,” katanya pada Ceramah Pengumuman Khas Pilihan Raya P017 Padang Serai di sini pada malam semalam.

Kata beliau, bidang pertanian dan keterjaminan makanan adalah baharu baginya.

“Ia merupakan satu benda baharu kepada saya dan saya akan dengar dahulu taklimat daripada pegawai-pegawai dari kementerian tentang setakat mana persediaan.

“Selepas taklimat itu, baru saya boleh buat arahan-arahan baharu sebab ini bidang agak baharu bagi saya,” ujarnya.

Berhubung pelantikan menteri secara keseluruhannya, menurut beliau, kalangan menteri perlu bekerja lebih kuat susulan pengecilan jumlah menteri.

“Kita terpaksa memikul kerja yang lebih besar dan berat kerana menteri lebih kecil sekarang dan dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu hasil yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah wakil Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Kabinet kerajaan perpaduan, kata beliau, masih terdapat pelantikan lain pada masa akan datang.

“Ini baru di peringkat menteri, selepas itu ada lagi timbalan-timbalan selain pelantikan lain. Ini baru di peringkat awal.

“Perbincangan akan berterusan untuk memenuhi pelantikan-pelantikan yang saya yakin bila berlaku perubahan kerajaan, banyak tindakan itu akan dilakukan,” tambahnya.

Mohamad sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *