HAJAT dua pelanggan di sebuah restoran untuk menjamu selera terbantut apabila melihat seekor tikus besar sedang menjamah ayam goreng yang dijual di premis tersebut.
Menerusi video yang tular sejak pagi Jumaat, saksi bersama seorang individu sedang menikmati nasi berlauk sebelum ternampak tikus berkenaan berada di tempat pemanas makanan.
“Depan mata sendiri. No more makan mamak, janji,” tulisnya menerusi keterangan video yang mendakwa ia berlaku di sebuah restoran mamak.
Posting yang dimuat naik di Twitter kira-kira pukul 5 pagi Jumaat itu meraih lebih sejuta tontonan dan diulang kicau lebih 5,000 kali.
Di ruangan komen, netizen menyarankan individu berkenaan agar membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Malah, ramai yang turut menyuarakan rasa geli dan bimbang apabila isu kebersihan dipandang ringan oleh segelintir pengusaha restoran.
Mohon bantu kami berikan maklumat. Kami akan ambil tindakan selanjutnya dengan kadar segera.
“Makan di kedai mamak adalah pilihan terakhir bagi aku kalau dah takda kedai lain. Aku dah lama cancel kedai mamak sebab macam ni.
“Comel haiwan ‘peliharaan’ owner kedai dalam akuarium tu siap bagi makanan sedap, ayam goreng sama macam dia jual tu.
“Kita nak beli ayam mamak punyalah mahal. Dia dapat makan free je,” tulis pelayar Twitter secara sinis.
Beberapa pelayar Twitter turut berseloroh dan mengaitkan kehadiran tikus itu seperti filem animasi tahun 2007, Ratatouille.
KKM arah kedai tutup 14 hari
RESTORAN yang tular di media sosial gara-gara seekor tikus yang sedang asyik menjamah ayam goreng diarahkan tutup selama 14 hari.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dibuat ke atas premis berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada Sabtu
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemeriksaan itu dibuat oleh petugas penguatkuasa ekoran daripada video tular tersebut dan mendapati kebersihan kedai itu berada pada tahap yang mengecewakan.
“Kami mengarahkan tindakan penutupan itu di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dia juga memaklumkan enam kompaun dikeluarkan berikutan pelanggaran prosedur kebersihan dan keselamatan makanan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sebelum ini rakaman video pendek berdurasi 15 saat yang memaparkan seekor tikus sedang berada berdekatan dengan makanan itu telah mencecah hampir 1.5 juta tontonan di TikTok.
Dr Noor Hisham menegaskan KKM sentiasa mengambil serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

Restoran tular kerana ada tikus ‘ratah’ ayam goreng diarah tutup 14 hari.
“KKM menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga.
“Ini bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan,” tambahnya.
Dia juga turut menyarankan agar pengguna memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat).