Tun Mahathir akhirnya ulas kemampuan Anwar urus negara buat ramai setuju

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya memimpin Malaysia selaku Perdana Menteri untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.

Bekas Perdana Menteri itu khuatir dengan kemampuan Anwar menghasilkan strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, apatah lagi fokus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata, ia terbukti berdasarkan pretasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu dan mendakwa bekas timbalannya dalam Kabinet ketika itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku Perdana Menteri pada 1997.

Selain itu, beliau mendakwa Anwar yang juga selaku Menteri Kewangan ketika itu, gagal mencari jalan penyelesaian apabila krisis kewangan melanda dan lebih rela mengikut pendapat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang berisiko menyebabkan Malaysia muflis.

“Pada masa saya jadi Perdana Menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), diberi tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri, tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.

“Selepas itu pula, berlaku krisis kewangan yang mana ringgit Malaysia turun nilainya. Pada masa itu, Anwar juga menjadi Menteri Kewangan.

“Cara dia menangani masalah kejatuhan nilai ringgit itu dengan mengikuti pendapat IMF dan Bank Dunia. Saya berpendapat, kalau kita ikut IMF dan Bank Dunia, kita akan jadi muflis dan kita tak dapat laksanakan dasar ekonomi negara kita.

“Tetapi Anwar tak ada cadangan yang lain selain daripada mengikuti IMF dan Bank Dunia, sebab itu saya terpaksa ambil alih tugas Kementerian Kewangan, saya cari jalan untuk selamatkan negara,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya sama ada Anwar memiliki keupayaan untuk menakhodai Malaysia berdepan cabaran kemelesetan ekonomi yang diramal melanda dunia tahun depan.

Dr Mahathir berkata, jika dibenarkan Anwar berkuasa dan melaksanakan dasarnya, beliau yakin negara tidak akan dapat mengatasi masalah krisis kewangan ketika krisis berkenaan.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengakui khuatir dengan kebolehan Anwar sebagai Perdana Menteri kerana berdasarkan pengalaman lampau, Presiden PKR itu gagal merangka penyelesaian ketika berdepan krisis kewangan 1997/1998, apatah lagi kini berdepan lebih banyak masalah rumit.

“Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.

“Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil.

“Rakyat masih tidak senang dengan keadaan negara. Banyak masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan Anwar,” katanya.

Dr Mahathir turut ditanya sama ada benar tanggapan pelbagai pihak bahawa beliau sememangnya tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

BH: Ramai pihak berpandangan Tun memang enggan Anwar jadi Perdana Menteri. Betulkah dan mengapa?

Dr Mahathir: Itu terpulang kepada rakyat dan parti untuk memilih dia. Tapi saya khuatir dengan kebolehan dia, sama ada dia boleh pimpin di waktu kita menghadapi banyak masalah.

Tun Dr Mahathir Mohamad pada temu bual eksklusif dengan BH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, baru-baru ini. – NSTP/ASWADI ALIAS

Tun M sifatkan kerjasama PH, BN pelik, jejas kepercayaan rakyat

PUTRAJAYA: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada janji dan pendirian parti politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri menyifatkan kerjasama antara dua gabungan utama yang saling bermusuhan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), meremehkan janji yang dibuat kepada rakyat oleh parti politik, khususnya sepanjang kempen pilihan raya.

Katanya, kerjasama PH dan BN juga tidak menghormati undi rakyat yang memilih kedua-dua parti itu dalam PRU15 selepas percaya dengan janji dan pendirian mereka yang sebelumnya bertegas menolak satu sama lain.

“Saya dapati sekarang ini dalam pilihan raya, janji dibuat. Selepas menang pilihan raya, janji diketepikan dan tindakan yang bertentangan dengan janji dilaksanakan.

“Bermakna kerajaan ini tidak hormati janji yang mereka buat dengan rakyat. Rakyat tentu kecewa kerana mereka menyokong atas sikap dan dasar parti atau calon, tetapi apabila menang mereka ketepikan dasar dan janji mereka.

“Ini memberi gambaran seolah-olah pilihan raya tidak berkesan dalam menentukan pihak yang akan jadi kerajaan berdasarkan janji yang baik. Mereka mungkin lakukan benda yang di luar atau bertentangan janji mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentuk hasil kerjasama luar biasa membabitkan PH dan BN, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.

Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas tiada mana-mana parti berjaya mendapat majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15, menyebabkan Parlimen tergantung selama lima hari sebelum Istana Negara mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam PRU15, PH mendapat jumlah kerusi Parlimen terbanyak dengan 82 kerusi, disusuli Perikatan Nasional (PN) yang menang 74 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), serta tujuh lagi diperoleh beberapa parti lain dan dua calon Bebas.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang tewas dalam PRU15 di Parlimen Langkawi, turut menyifatkan kerjasama PH dan UMNO sebagai perkara pelik dan mengetepikan pendirian masing-masing.

“Itu peliklah kerana kita tahu, UMNO dalam mesyuarat agungnya memutuskan tidak sama sekali bersama dengan Anwar atau DAP. Pakatan yang diadakan ini menidakkan dakwaan pendirian mereka. Pendirian mereka ialah tidak akan terima kerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Sekarang ini bukan saja mereka kerjasama, bahkan menyokong musuh mereka sebagai Perdana Menteri dan (UMNO) bekerjasama dengan DAP,” katanya.

kredit:bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *