Dunia

Bomba laungkan azan untuk kawal keb4karan gudang Jakel, Unit K9 Bomba ‘geledah’ Jakel. Ini kenyataan Pengarah Bomba

PETALING JAYA – Pasukan bomba terpaksa melaungkan azan supaya kebakaran gudang tekstil milik Jakel di Seksyen 7, Shah Alam pagi tadi dapat dikawal.

Pengalaman tersebut dikongsi di laman Facebook Friends of Bomba Malaysia selepas anggota bomba bertarung lebih lapan jam memadamkan kebakaran sejak pagi sehingga petang tadi.

“Dah hampir lapan jam kami di sini Jakel Shah Alam. Kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

“Dah empat atau lima orang yang melaungkan azan. Doakan kami team ERT Dana Kita dan Pasukan Bomba Sukarela Gombak dapat terus bertahan membantu pihak JBPM Selangor memadamkan kebakaran,” tulis hantaran tersebut hari ini.

Menurut hantaran itu lagi, kebakaran terbabit sukar dikawal dan mengambil masa lama untuk dipadamkan kerana faktor angin serta gudang itu dipenuhi dengan barangan tekstil.

“Faktor angin kuat ditambah pula dalam kedai ini penuh barangan tekstil menyebabkan kerja-kerja pemadaman agak sukar dan memakan masa,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam hampir musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pagi tadi.

Difahamkan, kebakaran itu memusnahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Menurut, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 7.08 pagi.

Norazam Khamis

Unit K9 Bomba ‘geledah’ Jakel esok, laporan dijangka siap sebulan

SHAH ALAM – Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor akan digerakkan esok bagi membantu siasatan forensik kebakaran Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini, esok.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, dua ekor anjing K9 akan ‘mengeledah’ bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.

“Siasatan dilakukan sama ada wujud unsur khianat atau tidak.

“Kita akan cuba siasat sama ada terdapat atau tidak bahan yang mempercepatkan api merebak keseluruhan bangunan itu,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian sebentar tadi.

Menurut Norazam, pada peringkat awal anggotanya berjaya memadamkan api bangunan itu namun terdapat api yang merebak di bahagian stor penyimpanan melibatkan kain, baju, permaidani dan bahan jahitan.

Ujarnya, stor tersebut yang begitu padat menyukarkan anggota bomba menaiki tingkat atas bangunan itu seterusnya mewujudkan risko keselamatan terhadap anggota bomba.

“Kita mengatur strategi dengan Aerial Ladder Platform (ALP), iaitu kita menggunakan mesin tangga yang terdapat pada beberapa jentera bomba bagi memadamkan kebakaran di tingkat atas.

“Berjaya dengan strategi ini, beberapa anggota kemudian masuk dari sebelah kiri dalam bangunan untuk melakukan pemadaman dari dalam dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 3 petang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Norazam menjangkakan laporan siasatan kebakaran itu akan diperoleh dalam tempoh sebulan. -KOSMO! ONLINE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *