PETALING JAYA: ‘Kejahatan mereka tidak boleh menyebabkan kita kehilangan kebaikan kita.’
Demikian reaksi terbaharu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam akaun Instagram miliknya dipercayai berhubung keputusan penggantungan keahliannya sebagai anggota UMNO sekali gus mencetuskan 1,001 persoalan terhadap kenyataan berkenaan.
Hantaran itu tersebut kemudian mendapat komen bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada parti semalam yang menyifatkan keputusan bukanlah satu pengakhiran.
“Siapa sangka selama bertahun-tahun yang lalu ini akan menjadi sebahagian daripada perjalanan kita bersama. Tetapi, seperti yang saya katakan, itu bukan penamat. Ia jauh dari penghujung,” kata Khairy dalam ruangan komen hantaran Hishammuddin.
Terdahulu, Hishammudin memuat naik hantaran Instagram itu bersama sekeping gambar yang dipercayai penyokong setia UMNO.
Reaksi ringkas kedua-dua pemimpin itu memberikan kesan mendalam khususnya dalam kalangan orang ramai yang meninggalkan komen agar mereka bersabar dengan ujian tersebut di samping terus menyokong walaupun apa jua melanda Hishammuddin dan Khairy.
Selain Khairy, seorang lagi pemimpin UMNO iaitu bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat sebagai ahli UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu berlangsung kelmarin berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang
