Ejen Dedah Permintaan Nikah Di Siam Meningkat Dua Kali Ganda. Dia Beritahu Apa Yang Jadi Punca Naik

Ada yang terfikir nak nikah dengan pasangan dekat Thailand ke? Kalau ada, apa yang menyebabkan korang ambil keputusan macam tu?

Apapun, kalau korang nak tahu, permintaan pasangan Malaysia untuk bernikah di Thailand sudah meningkat sebanyak dua kali ganda sejak tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh seorang ejen nikah sempadan yang dikenali sebagai Kamal dan ia meningkat sebaik sahaja sempadan dibuka.

Naik mendadak lepas sempadan dibuka

Disebabkan dua tahun sempadan tidak dibuka, jadi banyak urusan pasangan yang mahu melangsungkan pernikahan di selatan Thailand tertangguh. Ini antara faktor peningkatan berlaku secara mendadak.

Kamal turut memaklumkan jika sebelum ini mereka hanya menerima 15 hingga 20 pasangan sebulan, kini jumlah itu naik kepada 30 ke 40 pasangan sebulan.

Setakat ini, Songkhla, Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Bangkok antara lokasi yang diiktiraf dan diterima oleh kedua-dua negara bagi urusan pernikahan sempadan.

Sanggup habiskan banyak duit sebab mudah. Lagi-lagi yang nak berpoligami.

Mereka sanggup keluarkan perbelanjaan mengikut pakej yang ditawarkan antara RM2,000 ke RM5,000 untuk kumpulan biasa serta serendah RM10,000 bagi golongan kenamaan asalkan segala urusan lancar.

Rata-rata akan berurusan di Songkhla kerana ia dekat dengan konsulat yang akan memudahkan lagi pengesahan pernikahan.

Jika pasangan ajak kahwin di Siam, tinggalkan dia – Fahmi Ramli

PETALING JAYA – Ramai pasangan dilihat berani bertindak melakukan pernikahan di Thailand disebabkan beberapa faktor yang menghalang termasuk tidak mendapat keizinan keluarga mahupun isteri pertama.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkongsi beberapa senario menggambarkan masalah yang mungkin akan dihadapi oleh ‘pasangan nikah Siam’ ini.

Beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini meluahkan rasa bimbang apabila akan ada lebih ramai lagi masyarakat yang merasakan tindakan berkahwin di negara seberang itu adalah suatu perkara biasa.

“‘This is normal’ (ini perkara biasa) bila berkahwin poligami di Siam. Saya tak mahu ulas panjang tentang pernikahan pasangan mempelai penuh ‘drama’ ini.

“Cukuplah saya nak pesan kepada semua pengikut wanita yang dikasihi, kalau seorang lelaki ajak nak kahwin dengan seorang wanita di Siam dan tanpa pengetahuan sesiapa, tinggalkanlah lelaki tersebut.

“Pertama, kalau dia boleh langgar undang-undang yang ditetapkan oleh Malaysia untuk berpoligami, maka besar kemungkinan banyak restu yang dia tak dapat atau mungkin dia tak layak berpoligami,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya berlaku perceraian di kemudian hari, ia akan menjadi satu masalah kepada si isteri untuk menuntut hak kepada anak mahupun mendapatkan pengesahan perceraian disebabkan status ‘isteri’ itu tergantung.

“Kedua, kalau suatu hari nanti, katakanlah jodoh pendek, dia ceraikan anda, pasti yang akan susah naik turun Mahkamah untuk buat pengesahan tu adalah si isteri.

“Ketiga, jika anda melahirkan anak, ketahuilah anak-anak tersebut tidak boleh dibin atau bintikan kepada suami tersebut selagi tidak disahkan di Mahkamah Syariah.

“Keempat, kalau dia meninggal sebelum sempat buat pengesahan di Mahkamah, dokumen-dokumen pernikahan pulak hilang, apa pun bahagian faraid atau harta sepencarian anda tak layak tuntut,” jelasnya.

Menurut Fahmi, walaupun restu atau izin isteri pertama itu tidak diperlukan bagi seseorang lelaki berpoligami, tetapi perkahwinan tersebut mungkin sukar memperoleh kebahagiaan

Kredit: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *