Hiburan

Ira Kazar dah selamat jadi madu, ini status sam4n sivil dakwaan ganggu rumah tangga Puteri Sarah

KUALA LUMPUR: Tuntutan saman sivil dibuat pelakon, Puteri Sarah, yang mendakwa Ira Kazar mengganggu rumah tangganya, tidak terbatal walaupun wanita itu disahkan sudah bernikah dengan suaminya, Syamsul Yusof.

Peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor, berkata isu saman sivil yang difailkan Puteri Sarah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan tetap berjalan.

“Berkenaan dengan isu saman sivil, ia dibuat kerana gangguan, tulisan atau muat naik luahan Ira Kazar yang dikatakan satu bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform.

“Jadi, seperti yang dilaporkan oleh media dan kenyataan Puteri Sarah, bicara kes akan berlangsung pada Ogos 2023. Jadi, untuk tuntutan ini yang disebabkan penulisan dan gangguan, masih akan diteruskan.

“Perkahwinan itu tidak akan menggugurkan kes sebab tuntutannya mengenai perkara yang berlaku sebelum ini terhadap Puteri Sarah,” katanya.

Mengulas aduan dibuat Puteri Sarah ke pejabat agama terhadap Ira Kazar, yang sebelum ini didakwa kekasih suaminya, Nor Zabetha berkata, implikasinya masih sama, ia tidak akan digugurkan walaupun wanita itu sah menjadi isteri kedua Syamsul.

“Apabila aduan dibuat, jabatan agama akan buat siasatan sama ada terdapat elemen kesalahan iaitu contohnya, Ira Kazar sebagai pihak ketiga yang menyebabkan keruntuhan kepada perkahwinan, misalnya sehingga Syamsul menceraikan isteri atau mengabaikan tanggungjawab.

“Kalau cukup elemen, maka jabatan agama akan menyerahkan kepada pendakwa syarie untuk dakwaan di mahkamah.

“Memandangkan kes ini belum pun didakwa di mahkamah, barangkali ia dalam peringkat siasatan lagi. Jadi, kes ini masih disiasat, tidak akan digugurkan kerana Ira berkahwin (dengan Syamsul),” katanya.

Beliau menambah, jika ada bukti mencukupi menunjukkan Ira Kazar menjadi punca dan penghalang hubungan Puteri Sarah dan Syamsul, kes akan diteruskan.

“Jika tiada pembuktian bahawa Ira tidak menyebabkan perpisahan terjadi antara mereka (Syamsul dan Puteri Sarah), jadi kes tidak akan digugurkan,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira Kazar, yang didakwa mengacau rumah tangganya selama empat tahun.

Nor Zabetha turut melihat kes itu agak rumit mengambil kira pelbagai faktor membabitkan kedua-dua pihak.

“Ia jadi payah kerana mengikut kenyataan Syamsul dan Puteri Sarah, mereka masih suami isteri, malah Syamsul tidak meninggalkan Puteri Sarah (selepas berkahwin dengan Ira Kazar).

“Ini antara isu dalam kes ini. Apa pun wanita perlu bijak dalam melindungi hak mereka, contohnya harta sepencarian sepanjang perkahwinan,” katanya.

Puteri Sarah bincang dengan peguam, mahu saman Ira Kazar RM10 juta?

Pelakon Puteri Sarah Liyana mendakwa isteri baharu suaminya, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar telah melanggar perintah injunksi dan menghina mahkamah.

Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata demikian selepas berbincang dengan peguamnya, sebaik Syamsul mengesahkan sudah selamat bernikah dengan Ira di Thailand.

“Baru berbincang dengan peguam saya @syamsulyusoffilm, isteri baharu awak dah langgar perintah injunksi dan menghina mahkamah,” tulisnya menerusi satu hantaran di InstaStory.
Kali kedua langgar perintah?

Pada masa sama, pelakon berusia 37 tahun itu sekali gus seolah-olah memberi bayangan mahu mengambil tindakan saman sebanyak RM10 juta berikutan pihak defendan melanggar perintah injunksi tersebut.

“Jadi bolehlah saya saman RM10 juta pula ya. Jumpa anda berdua di mahkamah,” katanya lagi.
Pada November lalu, Puteri Sarah memaklumkan salah seorang ahli keluarga Ira telah melanggar perintah injunksi interim kerana mengeluarkan kenyataan dengan mengaitkan namanya di media sosial.

Sebelum ini, Syamsul yang juga pengarah filem mahu mengambil tindakan undang-undang berbentuk saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebanyak RM10 juta.

Syamsul berkata, ia kerana pihak Jawi didakwa mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadap keluarganya bahawa dia sudah bernikah lagi.

Hari ini, Syamsul akhirnya mengakui telah menikahi Ira yang juga anak kepada pelakon veteran Ira Kazar secara sah di Thailand menerusi satu perkongsian video di laman Instagram.

Sumber: Instagram Puteri Sarah & Syamsul Yusof

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *