Pelakon, Azhar Sulaiman dan Datuk Fizz Fairuz tampil bersuara berhubung isu sebuah program realiti hiburan yang menyentuh perihal rumah tangga peserta yang dikatakan melampaui batas.
Fizz Fairuz menerusi tangkap layar hantaran Azhar Sulaiman di laman Instagram meminta pasukan produksi supaya menghormati dan berhenti menyentuh isu peribadi seseorang sewaktu sedang mengendalikan sesuatu acara yang diadakan secara terbuka.

“Kepada pasukan Famili Duo, sila elakkan daripada membuat lawak atau memberi komen mengenai rumah tangga Fyna Jebat.
“Awak semua perlu menjaga hati dan perasaan Datin Zalina Zaini (madu Fyna Jebat) yang juga anak saudara saya,”tulis Azhar Sulaiman.
Bukan setakat Azhar sahaja bersuara, malah pelakon filem Mat Tudung juga meminta pihak terbabit berhenti daripada menggunakan hal peribadi seseorang dalam sesebuah program realiti.
Maaf, saya tak ada kaitan
Hantaran itu mendapat perhatian ramai termasuk pengacara program realiti berkenaan iaitu Janna Nick dan menegaskan ia bukanlah salah dirinya bertanya soalan sedemikian.
Ujar Janna, dia sendiri tidak tahu perihal rumah tangga peserta Famili Duo iaitu Fyna Jebat yang terpalit dengan isu pergaduhan bersama madu di sebuah restoran pada Isnin.
“Salam, tolong padam gambar saya sebab saya tak ada kena mengena dengan masalah keluarga ini.
“Maaf kerana tidak sensitif mengenai hal ini kerana saya sendiri tidak tahu dan diberitahu terlebih dahulu,”ujar Janna.
Bukan salah pengacara lah!
Malah, rata-rata warganet mempertahankan ia bukanlah salah Janna Nick kerana bertanya perihal peribadi Fyna Jebat sewaktu di pentas Famili Duo memandangkan dia hanya mengikut arahan sahaja.
Memang bukan salah pengacara tapi tak ada sensitiviti langsung
Pun begitu, ada juga netizen mengatakan ia tetap menjadi kesalahan tidak kiralah sesiapa sahaja membangkitkan hal rumah tangga di khalayak ramai memandangkan isu poligami sangatlah sensitif.
Apa-apa pun, didoakan semoga semua salah faham ini dapat diselesaikan dan mana-mana pihak produksi peka mengenai sensitiviti peribadi seseorang.
Terdahulu, portal melaporkan kedua-dua isteri bekas jurulatih bola sepak, Dato’ Zainal Abidin Hassan iaitu Datin Zalina Zaini (isteri pertama) dan Fyna Jebat (isteri kedua) bergaduh di sebuah restoran sekitar jam 2 pagi di Shah Alam.
Difahamkan, punca pergaduhan adalah disebabkan isteri pertama berang disindir oleh madunya dalam satu program rancangan realiti televisyen.
Malah, tidak tahu bahawa wanita berkenaan telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya.
Berang disindir dalam program realiti TV dipercayai punca 2 isteri jurulatih bergaduh
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim kepada Majoriti pada Isnin mengesahkan berlaku pergaduhan kecil melibatkan dua isteri kepada bekas bintang bola sepak terkenal yang baharu sahaja berkahwin dengan selebriti.
Menurut Iqbal, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh tempat awam).
“Siasatan mendapati isteri pertama berasa tersindir dengan kenyataan yang dikeluarkan isteri kedua dalam sebuah rancangan realiti televisyen.
“Isteri pertama jurulatih tersebut turut memarahi madunya dan mendakwa wanita itu telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, turut berlaku kejadian tarik menarik rambut antara kedua-dua individu terbabit.
“Pertengkaran di dalam restoran tersebut kemudiannya membawa sehingga bahagian luar restoran.
Fyna enggan mengulas lanjut tentang perkahwinannya.
Bagaimanapun, usaha mStar untuk menghubungi Zainal dan Fyna tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej tidak dijawab.
Sebelum ini Fyna atau nama sebenar Nur Syafinaz Jebat, 29, membuat pengakuan sudah bergelar isteri kepada bekas jurulatih bola sepak Pahang FC yang juga merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan.
Enggan mengulas lanjut tentang perkahwinan tersebut, Fyna bagaimanapun memohon orang ramai mendoakan kebahagiaan mereka.
Sumber: MSTAR ONLINE