Hiburan

““Nak berp0ligami tiada masalah kalau…”-Ini Reaksi Yusof Haslam Tentang Ira Kazar

KUALA LUMPUR: Penerbit terkemuka tanah air, Datuk Yusof Haslam berharap anaknya, Syam­sul bersemuka dan dapat memujuk Puteri Sarah Liyana dengan baik sekiranya benar masih menyayangi wanita tersebut.

Menurut Yusof, sebagai bapa, dia tidak lagi dapat berbuat apa-apa kerana Syamsul juga sudah membuat keputusan sendiri dengan menikahi Ira Kazar tanpa restu keluarga.

“Sudah bernikah bukan? Jadi saya harap semua dapat teruskan kehidupan. Baik saya, isteri, Sarah, Syamsul, keluarga, semua kena move on. Benda sudah jadi dan tak dapat patah balik.

“Cuma saya harap Syamsul dapat jalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa secara berhemah.Kalau kena pergi mahkamah selepas ini pun, selesai cara baik. Kalau jodoh berpanjangan, lakukan terbaik.

“Kalau benar sayangkan isteri, jagalah dan pujuklah dia baik-baik sebab Sarah pun sudah lama makan hati. Ini, pujuk pun tidak. Kalau tiada jodoh pun, kena reda tapi tanggungjawab tetap kena jalankan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Selain itu, akui Yusof, dia tidak akan mencampuri urusan rumah tangga Syamsul dengan Ira memandangkan selama ini anaknya itu tidak mahu berbincang dengan keluarga.

“Saya doakan yang baik-baik buat anak, menantu dan cucu-cucu. Tetapi tentang urusan dia dan rumah tangganya dengan Ira, saya tak nak campur.Belum sampai waktunya untuk saya komen kerana nanti akan melukakan hati banyak pihak lain.

“Sebagai bapa, saya reda dengan apa yang terjadi. Cuma, sukar untuk saya buang rasa ralat kerana selama empat tahun ini, mengapa dia tidak mahu berterus-terang? Kenapa selama ini menepis dan menipu.

“Kalau mengaku daripada awal, ia mungkin dapat diselesaikan dengan cara lebih baik dan tidak sampai jadi bahan permainan panas di semua media massa,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof percaya, seandainya mana-mana lelaki yang mampu mahu mengamalkan poligami, perkara yang harus diutamakan adalah menggunakan saluran atau cara yang betul.

“Nak berpoligami tiada masalah kalau ikut cara yang betul. Tetapi bukan dengan cara senyap atau tak ada jawapan.

“Kalau isteri tahu daripada awal, mungkin ada pertimbangan. Tetapi kalau sampai bertahun-tahun ia jadi bahan rumor, ada yang tak kena cara. Sebagai lelaki sepatutnya Syamsul selesai dengan cara baik,”katanya.

Syamsul Yusof, Ira Kazar sohor kini di Twitter

Pengakuan pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof mengenai pernikahannya dengan Ira Kazar menjadi antara topik terhangat yang dibincangkan ramai sehingga pasangan pengantin baharu itu sohor kini di media sosial, terutama Twitter.

Seperti mana filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahannya yang meledak dan diperkatakan umum, begitu juga pelbagai spekulasi kisah rumah tangganya yang turut mencuri tumpuan ramai sejak kebelakangan ini.

Syamsul yang membuat pengakuan bernikah di Thailand berwalikan bapa Ira, Kazar Saisi, semalam dihujani pelbagai reaksi kurang senang peminat yang turut menjadikan platform media sosial tersebut sebagai ruang meluahkan ketidakpuasan hati mereka.

Pada masa sama, sebilangan kaum lelaki pula menjadikan perkara itu sebagai ruang untuk berseloroh dengan memuat naik status yang memberi peringatan supaya masing-masing bersabar dan tenang sekiranya pasangan mereka berubah sikap.

“Elakkan sebarang situasi serba tidak kena di mata isteri buat masa sekarang. Nak buat macam mana, hari ini bakal menjadi hari yang panjang bagi kaum suami. Pandai-pandai alih topik kalau ada soalan yang tidak berkaitan menjengah,” seloroh seorang pengguna.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter dalam ciapannya mengakui, dirinya menjadi mangsa kemarahan isteri sebaik pengarah tersebut membuat pengakuan mengamalkan poligami.

Seorang pengguna wanita dalam ciapannya pula memuat naik status memaklumkan, dia tidak sanggup menonton video pengakuan pelakon filem Munafik itu, selain terdapat segelintir yang mempersoalkan sebab dan apa punca Syamsul membuat keputusan tersebut.

“Ira Kazar ini suami dia mati sebab pergi berperang ke? Adakah dia janda yang miskin?

“Atas sebab apa suami orang kena kahwin dengan dia? Boleh jelaskan wahai lelaki Malaysia?” soal seorang pengguna Twitter.

Pengarah dan pelakon itu menamatkan segala spekulasi apabila membuat pengakuan bernikah dengan Ira menerusi satu video yang dimuat naik di Intagram, semalam.

Sebelum ini, Syamsul berdepan kemelut rumah tangga berterusan selepas isterinya, Puteri Sarah Liyana mendedahkan tentang kehadiran orang ketiga yang mengganggu kebahagiaan mereka.

Syamsul dan Ira bagaimanapun, sebelum ini mengunci mulut tentang hubungan mereka dan sering mengelak apabila disoal berkenaan perkara itu.

Dalam perkongsian sama, Syamsul merayu kepada Puteri Sarah agar menghentikan tindakannya membuka cerita rumah tangga mereka kepada umum.

kredit: UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *