PORT DICKSON – Air suam RM2 dan air kosong RM1! Itu caj yang didakwa dikenakan oleh sebuah restoran di sini, yang disifatkan netizen tidak masuk akal.
Resit berkenaan dikongsi seorang pelanggan pada hantaran Facebooknya pada Selasa dan telah dikongsi seramai 208 pengguna setakat jam 7 petang ini sehingga menjadi tular.
Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM102.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika pergi makan di kedai berkenaan yang terletak di Port Dickson.
“Kalau siapa yang ke PD, hati-hatilah ada satu kedai makan di…kedai nombor… janganlah berniaga cekik darah.
“Makan berempat, nasi campur je…nak cepat kaya agaknya. Rupanya bila saya semak dalam web…ramai yang dah terkena,” tulisnya.
Pemilik akaun menggunakan nama N’sa Saliza di ruangan komen berkata, jika di tempat lain, pemilik restoran hanya sedekah air kosong kepada pelanggan.

Tulis Sharifah Fazilah Syed Agil Al Qadri pula, “air kosong tu boleh saja charge kerana nak guna gas dan air. Semua tu guna duit, tapi tidaklah sampai RM1”.
Panda Panda Doremon menulis, “Air kosong sampai RM1…air ruqyah barangkali” dan Jasmin Mynn pula,” Gila-gila mahal air kosong pun RM1″.
Selain itu pemilik akaun menggunakan nama Zulkarnaen Zakaria menulis, “Air suam sama harga nasi”.
Pada ruangan komen ada netizen memberitahu restoran terbabit terkenal dengan harga mahal dan pernah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini.
Air suam RM2: Lesen peniaga tidak akan diperbaharui – MPPD
Majlis Perbadanan Port Dickson (MPPD) tidak akan memperbaharui lesen peniaga yang mengenakan caj air suam RM2 di Medan Selera Seri Bayu di sini yang berakhir bulan lalu.
Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, tindakan itu diambil susulan aduan diterima sekali gus bagi mengelakkan perselisihan faham dengan peniaga lain yang mendakwa turut terkesan disebabkan tindakan caj makanan mahal dikenakan.
“Kita bagi tempoh sehingga Mac ini kepada peniaga tersebut untuk mengosongkan kedai dan kita terpaksa ambil tindakan ini kerana kedai itu sudah banyak kali tular.
“Ia menganggu perniagaan peniaga lain dan memberi imej negatif terhadap kawasan medan selera itu. Mungkin dia boleh berniaga di tempat lain selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujarnya, beliau tidak menafikan dengan kos sara hidup dan harga barang mentah yang meningkat menjadi salah satu faktor peniaga mengenakan caj mahal.
Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dijadikan alasan semata-mata sehingga mengenakan harga yang tidak munasabah.
“Bila timbul cerita macam ini sedikit sebanyak timbul persepsi negatif kepada peniaga makanan lain di Port Dickson yang dicop mahal.
“Tapi ia mungkin berlaku kepada sebilangan kecil peniaga saja dan setakat pemerhatian saya harga makanan di Port Dickson masih berpatutan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah kedai makan mengenakan caj RM2 untuk air suam dan RM1 untuk air kosong.
Resit berkenaan dikongsi seorang pelanggan pada hantaran Facebooknya pada Selasa sehingga menjadi tular.
Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM102.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika pergi makan di kedai berkenaan yang terletak di Port Dickson.
Kredit: Sinar Harian