Tissa Biani teringin duduk bawah Syamsul Yusof “Kalau di Malaysia saya sempat dengar”

SHAH ALAM – Pelakon muda kelahiran Indonesia yang popular dengan filem seram, KKN di Desa Penari iaitu Tissa Biani melahirkan keinginan untuk berlakon di bawah arahan pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Tissa atau nama sebenarnya, Tissa Biani Azzahra berkata, dia tahu tentang kehebatan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul.

“Kalau di Malaysia saya sempat dengar tentang filem terlaris di negara ini iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Ada dengar ramai yang memuji filem (di Malaysia) ini dan bahkan di Indonesia juga sempat dirilis di sana.

“Saya rasa teringin juga ingin bermain (filem) di negara ini. Kalau pengarah filem Mat Kilau (Syamsul Yusof), saya tak begitu terperinci tahu tentangnya tapi filemnya sempat saya tahu sebab viral juga kan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar Tissa yang memainkan peranan sebagai Nur dalam KKN di Desa Penari lagi, dia akan mencari peluang dan kelapangan untuk berlakon dengan produksi filem natau drama di Malaysia.

“Mungkin suatu hari nanti boleh sertai projek lakonan di Malaysia. Kalau ada masa dan kesempatan yang bisa didapatkan di sini, mengapa tidak,” jelas Tissa yang memiliki 4.5 juta pengikut Instagram.

Saya pasti bertudung seperti dalam filem tak lama lagi – Tissa Biani

Pelakon filem terlaris Indonesia, KKN di Desa Penari iaitu Tissa Biani menganggap salah sangka peminat terhadap dirinya bertudung sebagai satu doa yang akan diangkat ke langit.

Tissa atau nama sebenarnya, Tissa Biani Azzahra berkata, apa yang dipaparkan dalam kebanyakan projek lakonannya iaitu bertudung adalah tuntutan karakter yang perlu dilunaskan sebagai seorang aktres.

“Saya banyak melakonkan karakter orang yang bertudung. Jadi, mereka (peminat) inginkan saya bertudung dalam kehidupan realiti.

“Apa yang boleh dikatakan, sekarang saya masih belum bertudung. Tapi, insya-Allah tidak lama lagi saya pasti akan bertudung juga.

“Sebagai pelakon, memang menjadi tanggungjawab saya menterjemah watak diberikan sehabis baik. Netizen boleh bercakap tapi saya telah buat semampu baik,” katanya kepada Kosmo! Online usai sesi bertemu peminat filem KKN di Desa Penari di sini, semalam.

Tambah Tissa, 21, bertudung atau tidak, perkara tersebut tidak melambangkan keperibadian seseorang wanita.

“Bertudung itu memang kewajipan wanita Muslim. Saya bangga menjadi umat Islam. Jadi, tidak lama lagi saya pasti akan kembali kepada fitrah (bertudung).

“Orang menasihati saya dan berkata benda baik tentang perihal tersebut, saya anggap sebagai doa yang akan diperkenankan Allah SWT, insya-Allah,” ujarnya yang melakonkan watak Nur dalam KKN di Desa Penari.

Karya arahan Awi Suryadi tersebut merupakan filem terlaris sepanjang zaman Indonesia dengan jumlah tontonan hampir mencecah 10 juta orang. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *