Penyanyi Aina Abdul mendedahkan persembahan yang menampilkan elemen awan dan serba putih di Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) malam tadi menelan belanja hampir RM90,000 keseluruhan.
Mengakui sanggup berhabis demi karya berkenaan, Aina berkata dia berbuat demikian kerana kepuasan selain mahu memberikan yang terbaik buat peminat dan ‘keluarga besar’ Aina Abdul Entertainment.
“Untuk AJL37 memang saya tidak menafikan saya berhabis banyak. Tapi kerana… tak tahulah saya macam ada instinct Terus Hidup ini sesuatu yang istimewa dalam hidup saya.
“Jadi perbelanjaan hari ini merangkumi persalinan, props awan dan segalanya yang anda lihat tadi. Akan tetapi pada tahap ini saya mahukan sesuatu hasil yang berbaloi dalam kerjaya.
“Saya sedar untuk itu saya perlu buat pelaburan untuk diri sendiri, malah saya turut membawa semangat ‘team’ saya yang ramai. Hari ini sahaja misalnya dalam 30 orang.
“Semangat merekalah yang membawa saya ke sini. Saya sudah dikurniakan rezeki dan ada ruang untuk ‘invest’ dalam persembahan ini, alhamdulilah,” katanya.
Pemenang Vokal Terbaik itu juga turut mengulas mengenai konsep persembahan merupakan simbolik buat bapanya yang telah pergi menghadap Illahi.

“Saya memutuskan untuk memilih tema awan selepas pulang dari bercuti. Ketika itu, sepanjang berada dalam kapal terbang, saya dapat melihat kepulan awan yang bergelora ada juga dalam keadaan tenang kemudian.
“Di kesempatan itu saya berpeluang untuk berfikir panjang. Tetapi, saya juga mendedikasikan persembahan Terus Hidup ini kepada arwah ayah saya, Abdul Ghani Abdullah.
“Awan yang tertera di atas pentas itu merupakan simbolik kepada orang yang sudah tiada, yang tidak dapat dikawal oleh seorang manusia biasa,” katanya lagi.
Karya Terus Hidup adalah ciptaan sepenuhnya Aina sekaligus mengetepikan cabaran 11 lagu lain yang bertanding.
Hasil kemenangan, Terus Hidup membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi termasuk RM12,000 bagi Anugerah Vokal Terbaik.
Axiata Arena ‘mandi salji’ sebab Aina Abdul
Bukan Aina Abdul namanya jika tidak tampil dengan persembahan kuasa vokal dan penampilan uniknya.
Malam ini, satu Axiata Arena, Bukit Jalil bermandi ‘salji’ usai penyanyi mendendangkan karya Terus Hidup, sebentar tadi.
Membawa tema salju atas pentas serba putih, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani membuatkan audiens terpaku dengan persembahan cemerlang dan pentas memukau.
Penyanyi berusia 30 tahun itu tampil ‘suci’ dengan busana ropol-ropol serba putih bagaikan ratu salju.
“Effort yang Aina letakkan dalam busana, pentas dan kualiti vokal sangat luar biasa,” ciap seorang pengguna Twitter.
“Tolong bagi Aina trofi pemenang! Persembahan pentas dan vokal. Chef kiss (sempurna),” tulis netizen lain.
Menyaksikan kesungguhan dan usaha Aina, ramai meramalkan penyanyi yang sinonim dengan gaya avant garde itu bakal memenangi sesuatu termasuk memberi saingan Vokal Terbaik kepada Ernie Zakri dan Persembahan Terbaik.
Selain Aina, seramai 11 finalis berentap antaranya Alif Satar & The Locos mempertaruhkan lagu Anugerah Terindah ciptaannya bersama Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.
Lagu lain yang bertanding termasuklah Korban (Ernie Zakri), Bahagiakan Dia ( Shila Amzah dan Liza Hanim).
Turut bersaing, Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).
Sementara itu, pentas AJL37 akan digamatkan dengan saingan Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).
Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman).
kredit: mhiburan