Baru Je Papa Lantik Jadi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, Sekali Nurul Izzah Lepas Jawatan

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang menjadi tumpuan kerana kontroversi pelantikannya berkata, beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.

“Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, timbul kontroversi dengan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelantikan itu didedahkan Nurul Izzah dalam temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mana berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Nurul Izzah berkata, beliau menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

“Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan memberikan perkhidmatan membantu Mohd Hassan beserta anggota jawatankuasa lain bagi memberi manfaat kepada negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh Jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya.

Rabu lalu, Anwar mengumumkan lima individu menganggotai badan penasihat khas yang akan membantunya sebagai Menteri Kewangan membabitkan golongan profesional dan pakar ekonomi dengan diketuai Hassan yang juga Penasihat Petronas.

Empat lagi anggota berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif FVSB, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng; Profesor Ekonomi Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Ulung Dr Rajah Rasiah; serta Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Abdul Hamed Sepawi.

Tak mungkin Nurul Izzah guna kedudukan untuk kumpul kekayaan – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan anak perempuannya Nurul Izzah tidak akan menyalahgunakan kedudukan sebagai penasihat kanannya dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mendedahkan bahawa beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Menjawab soalan mengenai kritikan yang dihadapinya berhubung lantikan yang kontroversi itu, Anwar yang juga Presiden PKR mengulangi kenyataan yang Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun untuk kerja dipertanggungjawabkan itu.

“Tidak ada kemungkinan dia menggunakan kedudukan itu untuk mengumpul kekayaan dan mempengaruhi keputusan mengenai tender, kontrak atau projek.

“Ya, saya perlukan pengalamannya untuk membantu saya, tetapi biar saya tekankan bahawa dia berada di sana (Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri) adalah untuk melindungi dan meneruskan agenda tadbir urus yang baik tidak boleh merosakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Pengerusi Biro PKR di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut menyindir sebahagian mereka yang mengkritik keputusannya itu, namun menganugerahkan kontrak bernilai berbilion atau ratusan juta ringgit kepada anak lelaki atau menantu atau kroni semasa mereka berkuasa.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut sebarang nama apabila ditanya siapakah bekas pemimpin kerajaan dimaksudkan.

kredit: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *