USIA yang sudah mencecah 62 tahun tidak menghalang pelakon veteran Mak Wan Latah berjinak-jinak di platform media sosial Tiktok.
Jelas Mak Wan atau Halimatussa’adiah Mohd Daud, tujuannya menggunakan aplikasi itu hanyalah semata-mata mengisi waktu lapang memandangkan ketika ini dia tidak mempunyai tawaran berlakon.
Pun begitu kata dramatis berkenaan, ada segelintir yang kurang senang dengan tindakannya itu kerana merasakan usianya sekarang tidak sesuai bergiat aktif di Tiktok yang kebanyakannya digunakan golongan muda.
“Saya ada buat video live di TikTok tapi segelintir netizen kecam saya kata dah tua pun main Tiktok.
“Jadi saya nak buat apa sekarang ini pun dah tak boleh, sebab ada sahaja yang akan mengata walhal saya aktif di TikTok bagi mengisi masa lapang selain menonton dan berkongsi video berkaitan agama,” katanya kepada mStar.
TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI
Siapa Mak Wan Latah? Selebriti empunya nama sebenar Halimatussa’diah Mohd Daud yang juga sinonim dengan nama Mak Wan Julia ini merupakan seorang pelakon wanita veteran Malaysia.
Mak Wan aktif menceburi bidang lakonan dan terkenal dengan peranan watak ‘mak-mak’ seperti karakter Mak Senah dalam drama Kekasih Paksa Rela dan Mak Limah dalam 7 Hari Mencintaiku.
Biodata
Nama penuh: Halimatussa’diah binti Mohd Daud
Nama komersial: Mak Wan Latah, Mak Wan Julia
Umur: 62 tahun (2023)
Keluarga: Empat orang anak (daripada dua perkahwinan awal)
Adik Beradik: Halimatul Noor Mohamad Daud (adik)
Kerjaya: Pelakon
Instagram (IG): @makwanlatah_official

Kisah Dan Latar Belakang
Kerjaya seninya bermula sejak 23 tahun lalu, menerusi pembabitan di layar perak dalam filem Maut, Jangan Pandang Belakang Boleh, Nasi Tangas, Suamiku Encik Perfect 10, Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng, Desakan Dewasa, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dan Kampung Latah Kena Kuarantin.
Penampilannya di televisyen ialah menerusi drama Anak Pontianak, Kekasihku Seru, Mertua VS Menantu, Ramadan Yang Hilang, Rahsia Hati Perempuan, Rumah Siti Khadijah, Sihir, Keluarga Instafamous, 7 Hari Mencintaiku 3 dan banyak lagi.
Juga telefilem seperti Cinta Latah, Opah Dot Com, Teksi Love, Opocot The Movie, Tentang Alif, Puaka Janda dan Peti Ais Mak.
Kemunculannya di pentas teater menerusi pementasan Labun Mak Dara pada 2022.
Pada 22 Januari 2022, Mak Wan membawa hubungan cintanya dengan Husain Dollah, 74, ke alam perkahwinan selepas mengikat pertunangan pada 14 November 2021.
Pada 21 April 2022, Mak Wan dan Husain telah sah bercerai dengan talak satu.
Ia merupakah perkongsian hidup yang ketiga buat Mak Wan selepas tujuh tahun hidup sebagai ibu tunggal.
Dalam dua perkahwinan terdahulu, Mak Wan dikurniakan empat orang anak, manakala Husain pula memiliki dua orang zuriat.
Mak Wan sebelum ini pernah membuat pendedahan bahawa beliau tinggal bersendirian dan mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit kencing manis, darah tinggi dan semput.
Beliau menyifatkan pelakon Didie Alias sebagai seorang rakan industri yang sangat prihatin dengan kebajikannya kerana sering bertanya khabar dan menghulurkan bantuan sepanjang beliau memegang status sebagai ibu tunggal, sama ada dari sudut kewangan mahupun barangan keperluan.
Didie juga antara individu yang terawal menjenguknya apabila dia mempunyai masalah kesihatan.
Selepas bercerai, Mak Wan terpalit dengan dakwaan kononnya seorang yang tidak berakhlak sehingga didakwa menjadi faktor perceraiannya dengan suami. Bagaimanapun, Mak Wan bertindak mengunci mulut mengenai segala isu yang timbul kerana enggan membuka aib mana-mana pihak.
kredit: mstar