Dia sedang susah, takkan saya nak tinggalkan dia – Isteri Ryan Bakery

SHAH ALAM: Dilihat mengalirkan air mata ketika Ryan Bakery dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Digital Content Creator Tergempak 2022, Elyia Ibrahim, mengakui sebak setiap kali terkenang perit jerih yang dilalui suaminya untuk berada pada tahap itu.

Menurut Elyia, dia antara individu rapat yang melihat sendiri perjalanan Ryan sebagai pencipta kandungan (Content Creator) sebelum diangkat sebagai antara pempengaruh media sosial dikenali ramai.

Jelas Elyia, permulaan kerjaya Ryan tidak mudah, selain terpaksa bertatih perlahan-lahan untuk berada pada tahap dia berdiri sekarang.

“Saya cuba tahan diri untuk tidak menangis, tetapi air mata jatuh juga bila mengenangkan susah payah untuk dia meneruskan kerjaya sebagai pencipta kandungan.

“Memang sebak, namun saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih suami,”katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Gempak Most Wanted 2022 (GMW2022) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Berkongsi kisah, kata Elyia, dia mengenali Ryan sejak enam tahun lalu ketika sama-sama memulakan kerjaya sebagai kakitangan sebuah syarikat penerbangan.

“Bagaimanapun, ketika pandemik pada 2020, nasib tidak menyebelahi Ryan apabila dia dibuang kerja. Tidak mungkin saya tinggalkan dia hanya kerana hilang kerja dan sedang susah.

“Jadi, apabila dia mahu mencuba nasib sebagai pencipta kandungan, saya sokong. Ketika itu, dia tiada duit, tetapi saya rela keluarkan modal.

“Apabila Ryan menang pada GMWA2022, saya tahu, kejayaan ini amat bermakna buat dirinya. Saya tumpang gembira untuk dia,” katanya.

Sementara itu, Ryan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong kerjayanya, selain menganggap usahanya menghiburkan pengguna media sosial selama ini berbaloi.

“Mungkin ramai suka kandungan yang saya hasilkan kerana ia berkaitan dengan perjalanan hidup dan semua orang boleh ‘rasa’.

“Banyak komen positif saya terima, sampai ada yang berterima kasih kerana kandungan yang saya hasilkan mengingatkan mereka kepada kenangan lama.

“Sama ada teringat arwah ibu dan ayah atau kenangan masa kecil dan remaja, semua itu membuatkan saya bersemangat. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi ada nilai positif yang diselitkan,” katanya.

kredit:hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *