Kontroversi rumah tangga pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah masih berlarutan!
Terbaharu ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail menerusi Instagram Stories seolah-olah meluahkan perasaan geram yang ditujukan terhadap menantu baharunya, Ira Kazar.
“Ayah mereka telah dirampas oleh perempuan yang kejam. Ibu mereka ditinggalkan kerana perempuan itu. Laknatlah hidupnya,” katanya.

Pada hantaran tersebut isteri kepada penerbit Datuk Yusof Haslam ini turut memuat naik gambar dua orang cucunya, yang juga anak kepada Syamsul dan isteri pertamanya, pelakon, Puteri Sarah Liyana.
Terdahulu, pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, menggemparkan peminat apabila membuat pengakuan melalui video dirinya sudah bernikah dengan aktres, Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Berikutan itu, Patimah antara individu yang tidak terkecuali meluahkan perasaan kecewa dan menganggap Sarah sebagai seorang wanita teraniaya disebabkan kemelut rumah tangga anaknya itu.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Susulan pengakuan Syamsul, topik berkaitan kemelut rumah tangganya dan kehadiran Ira sebagai isteri kedua hangat diperkatakan sehingga ‘trending’ di Twitter.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan Summayah, tiga tahun.
“Syamsul Adalah Aset, Saya Harap Dia Kembali Ke Skop Productions” – Yusof Haslam
Dalam pada itu, Pengarah dan penerbit popular, Datuk Yusof Haslam mengesahkan filem terbaharu yang sedang menjalani penggambaran arahan anaknya iaitu Syamsul Yusuf tidak lagi diterbitkan melalui Skop Production.
Kata, Yusof, 68, Syamsul telah membawa haluan sendiri dengan menerbitkan filem bertajuk The Original Gangster di bawah rumah produksi miliknya sendiri, Syamsul Yusof Films dengan kerjasama Razor’s Edge Pictures.
Pun begitu, Yusof tetap mendoakan kejayaan Syamsul selain berharap suatu hari nanti anaknya itu akan kembali semula kepada Skop Production.
“Filem terbaharu Syamsul tidak diterbitkan di bawah Skop Productions. Jika itu pilihan dia, terserahlah. Sebagai bapa saya tetap mendoakan kejayaan filem-filem yang dihasilkannya.
“Syamsul adalah aset. Saya berharap agar suatu hari nanti Syamsul kembali ke Skop Productions, tempat di mana dia bertapak dahulu dan juga tempat di mana bapanya berjuang selama bertahun-tahun terdahulu sampai ke tahap ini.
“Saya percaya Syamsul mungkin tertekan. Tiada niat saya untuk melihat anak saya jatuh,” kata Yusof kepada Gempak.
Ditanya adakah perasaannya masih terkilan dengan tindakan Syamsul yang berkahwin dua tanpa pengetahuan keluarga, Yusof menjawab sebagai bapa dia hanya mahu yang terbaik buat anak dan menantunya, Puteri Sarah.
“Kalau saya marah, ia hanyalah di mulut. Tapi di hati lain. Sebagai bapa, memang saya akan menitiskan air mata apabila bercakap tentang anak.
“Saya tidak mahu cakap tentang pulang. Cukuplah saya berharap yang terbaik untuk Syamsul, Puteri Sarah juga buat cucu-cucu saya. Biarlah Allah yang menentukan apa yang bakal terjadi di masa depan,” tambahnya.
kredit: astro gempak