Ketua Juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37), Datuk Mokhzani Ismail mendedahkan persaingan sengit berlaku antara lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul dan Satu Malam Di Temasek nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne.
Menurut Mokhzani, Terus Hidup bersaing rapat dengan Satu Malam Di Temasek namun apa yang memisahkan mereka sebagai juara dan naib juara adalah persembahan vokal.
“Malam ini kita dapat lihat dua lagu yang sangat dekat beza markah mereka iaitu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek. Apabila permarkahan dibuat menerusi melodi, ia ada pada Terus Hidup, manakala kreativiti pula ada pada Satu Malam Di Temasek.
“Namun, kedua-dua lagu mempunyai kekuatan pada lirik dan juga vokal. Tapi kami melihat kekuatan vokal dalam dua medium, iaitu vokal dalam album dan juga vokal atas pentas AJL 37.
“Tatkala Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, ia adalah antara faktor yang mengangkat ia menjadi juara dengan kelebihan sebanyak dua markah. Begitu juga dengan lagu yang meraih tempat ketiga. Kalau kita lihat ada tujuh buah lagu yang mempunyai genre pop dan balada.
“Jadi kami barisan juri cuba mencari adakah kelainan lain yang dapat diangkat dan kita lihat naskhah yang dibawakan oleh lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos jadi pilihan.
“Selain itu, antara lagu yang turut mendapat markah yang paling hampir adalah Korban nyanyian Ernie dan Kembali Terang nyanyian Marsha Milan yang masing-masing berada di tempat keempat,” katanya ketika sidang media usai AJL 37, malam tadi.
Dedah Mokhzani, susunan lagu Terus Hidup di AJL 37 yang dijayakan oleh Jenny Chin ‘berbahaya’ dan mampu menjerat Aina namun penyanyi itu sukses membawakannya dengan baik.
“Jika diteliti semula persembahan ‘live’ Aina menerusi Terus Hidup berbading versi rakaman, ada sedikit perbezaan. Apa yang digarap oleh Jenny dalam susunan lagu itu bukan mudah.
“Kalau disemak kembali bahagian akhir lagu yang dipersembahkan secara langsung, ada ‘progression chord’ yang boleh ‘menjerat’ Aina.
“Menariknya, bahagian ‘susah’ itu disampaikan Aina dengan baik. Jadi, juri sebulat suara meletakkan Aina sebagai juara AJL 37 tanpa menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek yang hadir dalam satu naskhah bersifat luar biasa,” katanya lagi.

Rakaman kamera AJL37 dikritik, jadi bualan netizen
Belum sejam disiarkan secara langsung, Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) menjadi bualan hangat dalam media sosial gara-gara rakaman kamera yang dikatakan kurang memuaskan.
Rata-rata netizen berpendapat jurukamera tidak merakam bahagian persembahan yang sepatutnya dipertontonkan kepada penonton di rumah.
Kritikan netizen terhadap kerja jurukamera dalam AJL37.
“Jurukamera AJL37 alami masalah ke? Berpusing-pusing, pening tengok
“Kenapa tidak tunjuk bahagian Azira Shafinaz ketika rap?
“Kamera hancur, nasib baik persembahan hebat,” komen netizen.
Tidak cukup dengan itu, lirik yang dipaparkan beberapa saat menerusi televisyen turut dikatakan menganggu mood tontonan persembahan lagu Nang nyanyian Iman Troye.
“Kenapa muncul tulisan macam tayangan untuk budak tadika?
PAPARAN grafik yang dikritik.
“Nyanyian Iman dah okey tetapi terganggu dengan ayat yang tidak perlu pun diselitkan,” kata netizen.
Isu berkaitan rakaman kamera bukan perkara baharu setiap kali AJL bersiaran dan sudah berkali-kali dibangkitkan dalam kalangan peminat setia pertandingan berprestij tersebut.
Malam ini, sebanyak 12 lagu bertanding dalam AJL37 iaitu Turut bersaing, Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow, Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).
Sementara itu, pentas AJL37 juga akan digamatkan dengan saingan Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).
Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman).
Finalis lain yang turut berentap ialah Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup ciptaan beliau sendiri, Alif Satar & The Locos mempertaruhkan lagu Anugerah Terindah ciptaannya bersama Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.
Lagu lain yang bertanding termasuklah Korban (Ernie Zakri), Bahagiakan Dia ( Shila Amzah dan Liza Hanim). – KOSMO! ONLINE