KUALA LUMPUR: Budaya nepotisme dengan melantik saudara terdekat menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan wajar dielakkan pada masa depan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sedar dengan kritikan pelbagai berkenaan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri dan anak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan.
“Saya ingat beberapa perkara ini untuk masa akan datang kepada mana-mana kerajaan perlu elakkan. Cuma dalam keadaan Nurul Izzah dan Iqbal, lantikan itu sudah dibuat.
“Dia tidak melibatkan wang rakyat, yang kita harapkan sekarang mereka perlulah buktikan mereka bawa nilai tambah. Saya yakin mereka ada peranan masing-masing,” katanya ditemui media selepas hadir Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pandah Indah malam ini.
Beliau berkata, semua pihak yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat.
“Diperingkat PKR, kita harap kita ‘move on’ dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat. Sudah pasti saya faham sentimen itu,” katanya.
Sebelum ini, timbul isu berhubung dakwaan amalan nepotisme dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.
Johari turut menerima tempias dakwaan itu apabila dikatakan melantik Mohammed Iqbal yang juga anak pertama daripada lapan beradik sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabatnya.
Melalui portal rasmi Parlimen, ia meletakkan nama Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Speaker Dewan Rakyat I.

Gambar fail Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah. – NSTP/ARKIB
Anwar lantik Nurul Izzah: ‘Sah dari segi perundangan, salah dari segi moral’
Pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, mengundang pelbagai reaksi, dengan ada yang melihat tiada sebarang isu dalam perkara itu, manakala sebahagian lagi berpandangan sebaliknya.
Di Kota Bharu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin ada sebab tersendiri apabila melantik anaknya, namun beliau akan mendapatkan maklum balas Perdana Menteri sebelum memberi sebarang komen.
“Buat masa ini, saya anggap itu bidang kuasa Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja. Mungkin beliau ada sebab tersendiri dan saya akan berbincang dengan beliau untuk memahami mengapa dan apa asas melantik Nurul Izzah,” katanya selepas melawat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), hari ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula mempertahankan pelantikan Naib Presiden PKR itu atas alasan pengalamannya bersama Nurul Izzah di Parlimen menunjukkan anak Perdana Menteri itu ada keupayaan dan kebijaksanaan untuk melaksanakan tugas.
Meminta Nurul Izzah tidak mempedulikan kritikan yang dilemparkan, bekas Ahli Parlimen Papar itu dalam hantaran di Facebook, berkata Naib Presiden PKR itu layak memegang jawatan terbabit, cuma namanya Nurul Izzah Anwar dan akan tetap menjadi sasaran lawan politik, sama seperti bapanya.
“Jika Nurul bukan anak Perdana Menteri pun, saya yakin mereka pasti akan ‘meroyan’ juga. Ketika PH mengambil alih (kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2018), Nurul tidak menerima apa-apa jawatan dan tiada pula pujian diberikan kepada beliau.
“Sekurang-kurangnya buatlah kajian, apa kurangnya Nurul sebagai penasihat kepada Perdana Menteri? Tidak layakkan beliau? Jawapannya, beliau layak, cuma namanya ialah Nurul Izzah Anwar. Kepada Nurul Izzah, laksanakan tanggungjawab anda, buktikan mereka salah dan jangan pedulikan orang-orang ini,” katanya.
Dalam temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini, Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Dengan pengalaman sebagai Ahli Parlimen, pernah mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain perkhidmatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), beliau berharap ia akan membantunya menjalankan tugas baharu itu dengan baik.
Tidak terima elaun
Malam tadi, Anwar memaklumkan, Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun atas khidmatnya selepas beliau sendiri mempelawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
“Ya, saya yang meminta, mempelawa dia untuk bantu saya tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia,” katanya menegaskan, individu yang dilantik, walau sebagai menteri pun, tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio yang dipegang.
Katanya, Nurul Izzah mempunyai dua ijazah berkaitan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam, yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial, dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan semalam, menyifatkan lantikan itu sebagai amalan nepotisme Anwar dan pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.
“Pelantikan ini bukan sahaja tidak wajar, salah serta merosakkan imej kerajaan, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah. Pro bono bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme.
“Tindakan Datuk Seri Anwar mempertahankan pelantikan anaknya adalah sesuatu yang amat memalukan, lebih-lebih lagi Tan Sri Hassan Marican sudah pun bertindak sebagai penasihat kepada Perdana Menteri.
“Ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan Perdana Menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia,” katanya.
Menggesa Perdana Menteri menarik balik pelantikan itu, beliau dalam nada menyindir, menegaskan nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan.
Tak menyalahi perundangan
Sementara itu, Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menyifatkan pelantikan Nurul Izzah itu ‘betul dari segi perundangan, namun salah dari segi moral’.
“Seorang sahabat yang juga penyokong Pakatan Harapan (PH) bertanya kepada saya, apakah pandangan saya apabila Perdana Menteri melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri?
“Maka, jawapan saya ringkas saja dalam bahasa asing. iaitu ‘legally right but morally wrong’ (betul dari segi perundangan, namun salah dari segi moral),” katanya.
kredit: hmetro