Sibuk Menyanyi Tapi Akademik Tak Tinggal! Zaki Yamani Target7A Untuk SPM, Cita2 Nak Jadi Pensyarah

Baru sahaja dinobatkan sebagai juara Famili Duo bersama abangnya, Zaki Yamani,17, tetap utuh dengan pendiriannya mahu berjaya dan seimbang dalam pendidikan.

Memetik laporan Media Hiburan, Zaki kini sedang sibuk tekun mengulang kaji pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Sedar dengan kesibukan sebagai seorang penyanyi dan pelakon, pemilik nama Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas tambahan di pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM (PTTI) sejak penghujung tahun lalu.

Zaki yang juga anak kepada raja pop Malaysia, Jamal Abdullah memberitahu dia menyasarkan 7A dalam SPM akan datang. Namun, dia tetap bersyukur sekiranya tidak mendapat apa yang disasarkan.

“Untuk SPM 2023, saya menyasarkan 7A. InsyaAllah, kalau ada rezeki. Kalau tidak dapat, tak apa. Apa yang penting semua subjek lulus,”ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Disebabkan itulah dia mengikuti kelas PTTI bagi memantapkan lagi penguasaan lima subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains.

“Saya mengikuti kelas di PTTI sebab mahu memberi fokus pada lima subjek. Ini kerana, saya mahu ‘kejar’ semula pelajaran yang banyak tertinggal ekoran terbabit dengan kerjaya seni.

“Saya fikir, sibuk macam mana pun saya bekerja, pelajaran tetap menjadi keutamaan,”ujar Zaki.

Selain itu, Zaki juga mahu menunjukkan contoh terbaik baik dalam segala hal terutama disiplin dan tingkah laku kepada semua pelajar di PTTI memandangkan dipilih sebagai ikon akademik berkenaan.

“Sejujurnya saya sangat teruja apabila PTTI ambil saya sebagai ikon mereka. Saya tak pernah dapat tawaran macam ini. Jadi, sebagai ikon saya kena buktikan layak digelar ikon.

“Sebab itu saya kena belajar bersungguh-sungguh kerana orang akan berikan perhatian pada kita. Bukan saja pelajaran tapi juga disiplin dan tingkah laku kita. Seperkara yang saya suka di PTTI adalah mereka ajar kita lebih berdisiplin untuk datang ke kelas mengikut jadual ditetapkan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaki meluahkan kesyukuran kerana bertuah dikurniakan rezeki barisan tenaga pengajar yang ‘sporting’ dan banyak membantu termasuk rakan-rakan di situ.

Sementara itu, Zaki menitipkan pesanan buat semua orang terutama golongan selebriti yang masih bersekolah untuk meluangkan masa mencari ilmu tambahan walau sesibuk mana sekalipun.

“Kepada golongan selebriti yang masih bersekolah, sibuk macam mana pun bekerja, kena cari tempat dan luangkan masa untuk menghadiri kelas tambahan atau tusyen untuk ‘cover’ semula apa yang tertinggal di sekolah.

“Selain ada kemahiran dalam bidang seni, perlu juga ada ilmu. Bukan apa, andai suatu hari nanti tidak terbabit dengan bidang seni dan tidak menyambung pelajaran, sekurang-kurangnya kita tetap berilmu,”katanya.

Didoakan agar Zaki dan semua calon SPM 2023 berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan berguna buat masyarakat.

Biodata Penyanyi Zaki Yamani (Anak Jamal Abdillah)

Siapa Zaki Yamani? Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah atau nama popularnya, Zaki Yamani merupakan seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik remaja Malaysia.

Beliau adalah anak kepada penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah dan juga adik kepada penyanyi Osama Yamani.

Biodata Dan Latar Belakang

Nama sebenarnya, Ahmad Zaki Yamani bin Jamal Ubaidillah.

Menggunakan nama komersial, Zaki Yamani.

Berumur 14 tahun (2020).

Lahir pada 5 Disember 2006.

Kediamannya terletak di Kajang, Selangor.

Mendapat pendidikan di sebuah sekolah antarabangsa, dan Sekolah Islam Integrasi.

Anak kepada penyanyi lagenda negara, Dato’ Jamal Abdillah, manakala ibunya, Fatimatuzahra Samat ialah bekas isteri Jamal daripada perkahwinan ketiga beliau.

Berkecimpung dalam dunia hiburan sebagai seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik yang muncul dengan single pengenalan berjudul Percayaku hasil ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Bernaung di bawah label syarikat rakaman Rusa Music yang turut disertai penyanyi-penyanyi remaja popular, antaranya Floor 88, Ariff Bahran dan Mizan Harry Khalifah.

Laman sosial Instagramnya atas nama akaun @zakiyamani._ sehingga kini mencatatkan lebih 87,000 pengikut.

Fakta Menarik

Mula meminati bidang seni suara sejak berusia empat tahun dan acapkali mewakili sekolah dalam pertandingan nyanyian.

Meletakkan penyanyi dan komposer, Hael Husaini sebagai idola, selain mengagumi bakat penyanyi rap remaja, Ben Ladin.

Wajahnya dikatakan mempunyai iras penyanyi senior, Andi Bernadee.

Wajah dan gaya nyanyiannya dikatakan saling tak tumpah bak bapanya.

Pernah menjadi mangsa buli di sekolah agama sewaktu berusia sembilan tahun yang mengakibatkan emosinya terjejas, lantas mengambil keputusan berpindah sekolah.

Terlebih dahulu, dia menuntut di sekolah antarabangsa, namun juga tidak bertahan lama kerana menghadapi masalah untuk bergaul dengan pelajar bukan warga tempatan.

Neneknya pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Abangnya, Osama Yamani turut bergiat sebagai penyanyi. Osama merupakan anak daripada perkahwinan kedua Jamal dengan bekas isterinya, Noraina Mohd Yusof.

Zaki kini tinggal bersama ibunya di Kajang, Selangor, manakala Jamal pula menetap di Shah Alam.

Muzik video single sulungnya, Percayaku menggunakan khidmat instafamous Bibi Qairina sebagai model.

Mengenai perkembangan terbaharu, Zaki dijangka lahir dengan single baharu yang menampilkan bintang TikTok viral, Coki sebagai rakan duet.

Apa Kata Jamal Tentang Zaki?

Zaki mempunyai kelebihan dalam bidang akademik, berbanding abangnya, Osama yang lebih cenderung dalam bidang muzik.

Zaki turut meminati dunia seni suara serta mempunyai bakat dalam genre muzik rap.

Jamal menanam impian untuk berkolaborasi dengan Zaki dan Osama dalam sebuah projek lagu susulan single duet yang pernah dirakamkannya bersama Osama.

Menyifatkan pencapaian cemerlang Zaki dalam bidang akademik kerana mewarisi kebijaksanaan ibu, datuk dan neneknya.

Ingin melihat Zaki bergelar Mufti suatu hari nanti bagi mengikut jejak langkah bapa Jamal yang juga terlibat dalam dunia hal ehwal agama, namun enggan mendesak sekiranya anaknya itu mempunyai cita-cita lain.

Sumber: Media Hiburan, Instagram @zakiyamani._

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *