Pendakwaan terhadap beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) membuktikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bukanlah seorang reformis, sebaliknya seorang pendendam dan mentadbir secara kuku besi, dakwa bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.
Dalam satu kenyataan, Wan Saiful mendakwa target utama kerajaan kini adalah untuk melumpuhkan PN agar tiada semak dan imbang dalam negara ini.
“Tekanan yang Anwar kenakan kepada pembangkang adalah untuk melumpuhkan proses semak imbang.
“Anwar bukan seorang reformis. Dia seorang pendendam tua yang opportunis dan kuku besi,” katanya sambil mendakwa nepotisme juga berleluasa dalam kerajaan.
Wan Saiful turut mengingatkan bahawa Anwar yang pernah dihukum penjara atas kesalahan salah guna kuasa, kini mengulangi sikap yang sama.
“Rakyat dan pemerhati antarabangsa perlu sedar bahawa inilah dia Anwar Ibrahim yang sebenar.
“Tidak pelik jika bekas banduan ini mengulang perangai lama apabila mendapat peluang duduk di atas singgahsana,” tambahnya.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful dihadapkan dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Dia yang mengaku tidak bersalah mendakwa pertuduhan itu sebagai pendakwaan terpilih dan bermotif politik.
Hari ini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin juga akan didakwa esok.
Sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa Muhyiddin berdepan banyak pertuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur dan didakwa di bawah beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM.
Menurut Wan Saiful, selepas dia dan Muhyiddin diheret ke mahkamah, kini tumpuan kerajaan adalah kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Tan Sri Haji Abdul Hadi disiasat kerana kenyataan beliau mengenai pertukaran kerajaan.
“Kenyataan itu tiada apa salahnya kerana memang pertukaran kerajaan boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam sistem demokrasi Westminster yang kita amalkan,” ujarnya.
Terdahulu, pihak polis memaklumkan akan menyiasat Abdul Hadi berhubung kenyataannya yang mendakwa PN sedang berusaha menjatuhkan kerajaan.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya telah menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.
kredit: mkini