‘Ini dijadikan modal politik’ – Ini Kata2 Padu Muhyiddin Buat PMX Mula Tak Senang Duduk

PUTRAJAYA – “Sedihnya, ini dijadikan modal politik seolah-olah ini satu skim untuk mencuri wang negara, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau hadir tanpa paksaan pada pagi Khamis untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan tambahannya biar pun ini satu penindasan politik dan penganiayaan terhadap beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“SPRM membangkitkan dua perkara iaitu projek Jana Wibawa serta rayuan pembatalan cukai Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari daripada Yayasan Al Bukhary.

“Bagi Jana Wibawa, ia adalah projek semasa pandemik Covid-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor bumiputera yang akan jatuh bankrap.

“Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion ke RM530 bilion kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion, turun lagi ke RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, menggunakan fitnah ini, SPRM membekukan akaun bank parti untuk menghancurkan Bersatu dan inilah jahatnya fitnah.

Muhyiddin selesai memberi keterangan kira-kira sembilan jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Katanya, SPRM seharusnya mengetahui dari semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah. Amatlah malang jika wang dalam akaun Bersatu yang merupakan dana politik dianggap sebagai suapan.

“Saya bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan. Kuasa melulus adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Ujar Muhyiddin lagi, beliau sekadar melaksanakan keputusan kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan mengikut syarat dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.

“Saya juga tidak pernah berjumpa dengan kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dan tidak pernah menerima wang daripada mereka. SPRM tidak menjumpai sebarang bukti bahawa saya telah menerima wang,” katanya.

Jelas Presiden Bersatu itu, jadi, bagaimana beliau boleh dituduh menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa?

“Mengenai rayuan pembatalan cukai daripada Yayasan Al Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar adalah kawan baik saya yang saya telah kenal

lebih 30 tahun lalu. Beliau adalah seorang hartawan dan dermawan Melayu yang terkenal yang akrab dengan saya.

“Inilah faktanya, Yayasan Al Bukhary menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan khususnya membangunkan Islam dan membantu umat Islam. Atas semua itu, yayasan ini diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya.

Tambah Muhyiddin, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan gabungan Pakatan Harapan tertubuh.

“Menteri Kewangan dari DAP, Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telah pun diluluskan kepada Yayasan Al Bukhary,” katanya.

Siasatan SPRM ke atas Muhyiddin untuk lumpuhkan Bersatu – Azmin

Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu , Mohamed Azmin Ali menyifatkan siasatan SPRM ke atas presidennya, Muhyiddin Yassin oleh hari ini sebagai satu permulaan kepada usaha melumpuhkan parti itu.

Menurut Azmin, ia juga permulaan gerakan yang akan berterusan terhadap parti itu.

“Kita lihat ini satu permulaan gerakan masa yang akan berterusan kerana kita lihat ada usaha yang terancang melumpuhkan kebangkitan rakyat,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu.

Menurut Azmin, dia yakin Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Saya bersyukur dengan rakyat dan kepimpinan PN turun kerana kita yakin Tan Sri Muhyiddin tidak bersalah dan tidak wajar dituduh atas apa juga pertuduhan.

“Bagaimanapun sebagai pendukung parti yang sentiasa menegaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti, menolak rasuah, kleptokrasi, kami akan terus bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.

Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan dikenakan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Turut didakwa adalah Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, yang kebetulan adalah kubu bekas perdana menteri itu.

Pertuduhan-pertuduhan itu adalah berkaitan skim Jana Wibawa – inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

kredit: sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *