PELAKON Ammar Alfian menawarkan diri untuk menjadi pelatih peribadi kepada Datuk Aaron Aziz sekiranya aktor itu memerlukan bantuan daripadanya.
Ammar atau Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 36, berkata, dia akan cuba melakukan terbaik bagi membuktikan Aaron seorang pelakon yang berdedikasi dan bukan seperti apa diperkatakan tentangnya sejak kebelakangan ini.
“Jika anda mahu saya bantu dalam sesi latihan, beritahu sahaja. Insya Allah saya akan berikan yang terbaik untuk sama-sama membantu.
“Buktikan kepada orang ramai yang mereka salah dan anda sebenarnya seorang yang berdedikasi,” katanya.
Ammar berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya.

Dalam pada itu, Ammar berkata, meskipun hubungannya dengan Aaron tidak rapat namun pelakon filem Paskal itu antara saksi melihat kegigihan Aaron dalam memberikan komitmen terhadap lakonannya.
“Saya faham perasaan apabila segala kesungguhan dan kerja keras tidak dihargai.
“Umur hanya sekadar angka… Anda boleh hilangkan lemak-lemak itu tetapi jangan jatuhkan maruah anda,” jelasnya.
Pada Rabu lalu, Syamsul mendedahkan punca sebenar Aaron digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster disebabkan faktor usia, berat badan dan masalah kesihatan dihadapi aktor berkenaan.
Aaron dalam kenyataan balasnya pula memberitahu dia terpaksa mengambil suntikan bagi mendapatkan bentuk tubuh menarik atas permintaan Syamsul demi memuaskan hatinya.
‘Saya ambil semua kesalahan’ – Syamsul Yusof tak mahu isu dengan Aaron Aziz dipanjangkan
PENGARAH Syamsul Yusof memohon agar isu pengguguran pelakon, Datuk Aaron Aziz daripada filem The Original Gangster (TOG) tidak lagi dipanjangkan.
Syamsul menerusi entri di Instagram Story miliknya menjelaskan apa yang berlaku antara dirinya dan Aaron tiada kena-mengena dengan pelakon lain.
“Dalam isu Aaron digugurkan sebagai pelakon filem OG, tidak perlu kita menyalahkan mana-mana pihak atau pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy,” tulisnya.
Dalam entri yang sama juga, Syamsul memaklumkan keputusan menggugurkan Aaron daripada senarai naskhah itu dilakukan sebulat suara dan dipersetujui penerbit.
“Keputusan menggugurkan Aaron dibuat sebulat suara oleh saya dan penerbit lain filem ini. lni isu kerja antara saya sebagai pengarah dan Aaron sebagai pelakon.
“Saya ambil semua kesalahan dan bertanggungjawab terhadap isu ini. Tidak perlu dipanjangkan lagi isu ini, terima kasih,” maklumnya.
Terdahulu, Syamsul mendedahkan punca Aaron terpaksa digugurkan daripada membintangi filem tersebut.
Antara sebabnya adalah masalah kesihatan iaitu masalah slip disc dan juga pertambahan berat badan.
Bagaimanapun, Syamsul memberitahu dia adalah individu terakhir yang mahu menggugurkan Aaron daripada filem berkenaan kerana mahu memberikan peluang pada aktor tersebut.
Aaron bagaimanapun memuat naik video di Instagram dan menceritakan perkara sebenar dengan bersaksikan kitab suci Al-Quran mendakwa dirinya telah dianiaya pengarah terbabit apabila digugurkan pada saat akhir. -Gempak
LAGI ARTIKEL MENARIK