Pengarah sensasi, Syamsul Yusof memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berjumpa Datuk Aaron Aziz bagi menyelesaikan isu pengguguran nama dalam senarai barisan pelakon filem Original Gangster.
Katanya, dia bersikap terbuka sekiranya atas urusan mahu berbaik-baik semula ataupun mengenai projek filem akan datang.
“Boleh nak jumpa berdua tiada masalah. Saya pun tunggu dia ajak berjumpa juga. Nak jumpa untuk berbaik-baik semula boleh, tiada masalah.
“Kalau ada projek filem akan datang pun boleh jumpa. Aaron tetap sahabat saya. Masalah yang timbul hanya soal kerja semata-mata dan kita mesti bersikap profesional,” katanya.
Malam tadi, Aaron menerusi Instagram meluahkan kemarahan selepas Syamsul mendakwa dirinya digugurkan atas alasan dia sudah tua, gemuk dan berisi.
Aktor berusia 47 tahun itu turut terkilan kerana pengarah tersebut enggan berjumpa sedangkan segala permintaan supaya dirinya ‘buat badan’ sudah dipenuhi.
Malah, dalam pendedahan berkenaan, Aaron juga mengatakan dia juga sanggup menahan kesakitan menggunakan suntikan steroid untuk mendapatkan tubuh badan sasa dalam tempoh singkat.
Terima kasih Allah kerana melindungi suami saya daripada projek ini
Sudah pastinya anak-anak dan isteri, Datin Diyana Halik adalah yang paling terkesan dengan isu sensasi berkenaan. Sepanjang menjadi pengurus kerja suaminya, wanita berkenaan menggambarkan konflik serius ini paling sukar untuk dihadapi. Meskipun kehilangan satu sumber rezeki, dia tetap bersyukur kerana Datuk Aaron ‘terhindar’ daripada menyertai projek berkenaan.
Kalau isteri cakap NO masih boleh bincang…Kalau isteri cakap i forbid you, dah level lain
Dalam hantaran terbaru tadi, Datuk Aaron mendedahkan anak bongsunya turut menangis mengenangkan kontroversi yang tercetus. Sedar betapa masalah ini cukup ‘meranapkan’ emosi mereka sekeluarga, dia hormat dengan permintaan isterinya untuk tidak bertemu Syamsul Yusof.

Saya tumpang rezeki dari anak-anak dan isteri
Selepas ini, pelakon ‘KL Gangster’ tersebut tidak akan menjawab atau mengeluarkan sebarang kenyataan lain membabitkan kemelut dengan Syamsul. Kerja kerasnya selama ini sudah pasti adalah demi menyara keluarga. Namun di akhirnya, emosi mereka jauh lebih penting malahan Datuk Aaron yakin rezeki bukan terletak di tangan manusia.
Kredit : Instagram Aaron Aziz