Nasi ditanak 7 jam, masih gagal dimasak! Orang kampung dedah cerita sebenar

KEJADIAN janggal menyelubungi sebuah kampung di Indonesia apabila nasi yang ditanak selama tujuh jam tidak boleh dimasak.

Dalam satu video yang tular di TikTok, penduduk kampung menjadi panik dengan inisden yang seakan-akan tidak mampu dijelaskan dengan akal dan ilmu saintifik.

Menurut pemilik akaun TikTok @b_law_office, penduduk keliru apabila nasi kenduri yang dimasak dalam tiga periuk besar selama hampir sehari masih tidak masak walaupun api dinyalakan sudah besar.

Mereka telah mencuba pelbagai cara untuk memasak nasi tersebut seperti meletakkannya di atas dapur gas dan memasukkan air panas, tetapi tetap sahaja gagal.

Ada juga yang mendakwa penyebab kegagalan tersebut adalah daripada gangguan jin.

Disebabkan itu, seorang lelaki bernama Pak Yai Zainudin membantu mereka dengan menggunakan ‘ikhtiar tradisional’.

Mujur akhirnya setelah ditanak semula selama sejam, nasi untuk dihidang ketika kenduri itu akhirnya telah masak.

Video itu mendapat perhatian netizen hingga ada yang mengesahkan bahawa perkara aneh itu turut pernah berlaku di tempat mereka.

Sihir adalah sejenis ilmu yang boleh dipelajari dengan cara mendekatkan diri kepada jin dan syaitan melalui pemujaan, penyembahan dan ketundukan kepada selain Allah SWT. Kesan sihir boleh menyebabkan gangguan teruk kepada mangsa daripada sudut fizikal dan spiritual, malah kematian. Kesan sihir juga biasanya sukar dipulihkan oleh doktor perubatan kerana puncanya tidak bersifat alami.

Nabi SAW sendiri pernah disihir sehingga Allah SWT mengutuskan dua malaikat untuk membantu kesembuhan baginda. Aisyah RA bercerita: “Seorang Yahudi daripada Bani Zuraiq bernama Labid bin al-A’sam menyihir Rasulullah SAW sehingga baginda dibuat seakan-akan telah melakukan sesuatu pekerjaan, padahal baginda tidak melakukannya. Sampai suatu hari baginda berada di sampingku, namun baginda terus berdoa dan berdoa. Kemudian baginda bersabda: “Wahai Aisyah, apakah kamu turut berasakan bahawa Allah memberikanku jawapan terhadap apa yang kumohonkan kepada-Nya? Dua lelaki telah datang kepadaku, lalu seorang daripada mereka duduk di sebelah kepalaku dan seorang lagi di sebelah kakiku. Kemudian salah seorang bertanya kepada yang satu lagi: “Apakah sakit lelaki ini?” Temannya menjawab: “Disihir.” Dia bertanya lagi: “Siapakah yang menyihirnya?” Temannya menjawab: “Labid bin al-A’sam.” Dia terus bertanya: “Dengan apakah dia menyihir?” Temannya menjawab: “Dengan penyisir, rambut yang terjatuh ketika disisir dan seludang mayang kurma jantan.” Dia bertanya: “Di manakah benda itu diletakkan?” Temannya menjawab: “Dalam telaga Zarwan.” Kemudian Rasulullah SAW mendatanginya bersama beberapa orang sahabatnya. Setelah kembali baginda bersabda: “Wahai Aisyah, seakan-akan airnya bagaikan rendaman daun inai dan seakan-akan pohon kurmanya bagaikan kepala syaitan.” Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah kamu membuka bendanya?” Baginda menjawab: “Tidak, sesungguhnya Allah telah menyembuhkanku sehingga aku tidak suka menimbulkan kesan buruk kepada orang lain daripada peristiwa itu.” Kemudian baginda pun memerintahkan supaya telaga itu dikambus.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hadis ini menunjukkan orang terkena sihir wajar berusaha merawat gangguan dialaminya. Antara yang turut diajarkan baginda SAW ialah menggunakan ruqyah. Imam Ibnu al-Athir dalam an-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar mendefinisikan: “Ruqyah ialah memohon perlindungan (kesembuhan) dibacakan untuk orang yang sakit, seperti demam, kerasukan dan penyakit lain.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *