KUALA LUMPUR : Di sebalik ujian menimpa, pasti terselit hikmah tidak disangka-sangka. Dalam mengharung kemelut rumah tangga selama empat tahun, siapa sangka Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, didatangkan rezeki melimpah ruah.
Tidak hanya tawaran berlakon, Puteri Sarah menjadi buruan pengusaha produk kecantikan, tudung dan pelbagai kempen lain dalam media sosial.
Malah, kerjaya lakonan ibu tunggal ini berkembang hingga ke negara jiran. Selain projek filem di Indonesia, Puteri Sarah terbabit dengan pembikinan single selain mengintai peluang perniagaan di negara seberang itu.
Rezeki Sarah berganda apabila bolos Top 5 dalam kategori Aktres TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, yang diumumkan baru-baru ini.

Puteri Sarah bersama dua permata hatinya, Syaikhul dan Summayah. Foto IG Puteri Sarah Liyana
Selama 18 tahun mengukir nama sebagai pelakon, ini kali pertama Puteri Sarah membolosi senarai Top 5. Tidak hairanlah, berita itu cukup mengejutkan pemegang watak Umairah dalam drama Andai Itu Takdirnya itu.
Menganggap kejayaan awal itu sebagai rezeki permata hati iaitu Syaikhul Islam, 6 dan Summayah, 4, Puteri Sarah bersyukur bakat lakonannya semakin mendapat perhatian terutama selepas membintangi drama Andai Itu Takdirnya.
“Saya tidak sangka mampu melangkah ke Top 5 kerana selepas lebih sedekad dalam industri seni, barulah nama saya sampai ke peringkat ini.
“Bagaimanapun, saya tidak letak harapan tinggi untuk menang. Saya serahkan soal kemenangan kepada rezeki dan undian peminat.
Puteri Sarah mengaku drama Andai Itu Takdirnya memberi impak besar kepada karier lakonannya. Foto IG Puteri Sarah Liyana
Puteri Sarah mengaku drama Andai Itu Takdirnya memberi impak besar kepada karier lakonannya. Foto IG Puteri Sarah Liyana
“Lagipun, saya sedar calon yang bersaing bukan calang-calang. Saya berdepan saingan sengit Siti Saleha, Anna Jobling, Raysha Rizrose dan Sharifah Rose, jadi, saya pasrah dengan apa juga keputusannya,” katanya.
Bekas isteri pengarah, Syamsul Yusof mengaku drama Andai Itu Takdirnya memberi impak besar kepada karier lakonannya.
Malah, Puteri Sarah bersyukur peminat menilainya dari sudut positif tanpa melihat kepada kontroversi rumah tangganya.
“Tiada siapa ingin menghebohkan kemelut rumah tangga kepada umum. Apa yang berlaku sebelum ini adalah sesuatu yang tidak pernah diduga sama sekali.
“Saya tidak berniat mengada-adakan cerita demi meraih perhatian masyarakat.
“Dalam mengharungi episod kontroversi turun naik mahkamah, kerjaya lakonan diteruskan seperti biasa.
“Seperti saya katakan, tahun lalu dan tahun ini, beberapa drama lakonan saya mula mendapat perhatian penonton. Ada yang meninggalkan impak, jadi, saya percaya, ini menjadi salah satu faktor yang membantu undian saya,” katanya lagi.
Puteri Sarah tidak berniat mencetuskan kontroversi, sebaliknya, apa yang dilakukan sekadar memperjuangkan haknya.
“Apa yang saya lalui membuka mata wanita yang selama ini buntu mengenai tindakan harus diambil terhadap masalah dihadapi mereka.
“Dalam erti kata lain, saya buka jalan kepada mereka selama ini yang tidak tahu hendak buat apa-apa,” katanya.