Polis wanita tular akhirnya dikenakan tindakan. Selain digantung tugas, ini tindakan lain yg dia kena

Seorang pegawai polis wanita tular sebelum ini gara-gara memperkecilkan anggota bawahan dan bertengkar dengan orang awam disahkan sudah digantung tugas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata wanita terbabit ditahan kerja sejak minggu lalu dan arahan itu berkuat kuasa sehingga proses siasatan selesai.

Kata Saifuddin, dua kertas siasatan dibuka terhadapnya setakat ini mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Proses rakam percakapannya sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada 19 Jun lalu.

“Pada masa sama, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman berkait kes yang dihadapinya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata enam lagi kertas siasatan tatatertib dibuka oleh JIPS susulan beberapa video yang tular dalam kejadian di Taman Sri Gombak serta video tular pergaduhan dengan orang awam, baru-baru ini.

“Dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai polis wanita itu diharap orang ramai tahu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menangani perilaku sebegini.

“Kita biarkan pihak polis mengguna pakai undang-undang dan saluran dalaman seperti JIPS untuk menguruskan perilakunya yang menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan persepsi tidak baik terhadap PDRM,” katanya.

Sebelum ini, pegawai Wanita itu teruk dikecam warga net selepas tular video dia memperlekeh pangkat anggota bawahannya.

Dia kemudiannya dipanggil Polis Selangor ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk dirakam keterangan sebelum ditahan.

Polis sebelum ini juga mengesahkan ada menerima laporan kejadian pegawai polis wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ itu berperang mulut dengan seorang wanita lain di parkir pusat beli-belah di Brickfields.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *