Uncategorized

Masih belum sedar, Shuib kongsi perkembangan terkini Siti Sarah

SELEPAS proses pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan Siti Sarah selamat dijalankan pada petang Jumaat, Shuib sekali lagi berdepan fasa mendebarkan tentang keadaan isterinya yang masih tidak sedarkan diri.

Menceritakan semula tentang apa yang dilaluinya, Shuib berkata pada mulanya dia hampir berputus asa jika sesuatu yang buruk berlaku.

“Pukul 7.45 malam semalam, oksigen Sarah jatuh sampai 69, masa tu saya rasa macam tiada nyawa dah.

“Kemudian pukul 11.10 malam doktor hubungi maklumkan keadaan Sarah sangat kritikal, oksigen turun sampai 40… lagi la saya langsung tak boleh fikir apa-apa, tak tahu apa nak buat.
“Tapi apabila Allah memberikan rahmatnya kepada hamba-hamba yang memerlukan dan orang ramai mendoakan Sarah… maka berlaku keajaiban apabila oksigen Sarah naik hingga 77,” katanya.

Shuib kongsi perkembangan terkini Siti Sarah.
Shuib berkata demikian ketika sesi bacaan Yasin untuk Siti Sarah dan bayinya yang diadakan pada malam Sabtu.

Tambah Shuib dia sangat bersyukur apabila keadaan Siti Sarah terus menunjukkan perkembangan positif hingga terkini berada pada tahap 85 pada pukul 6 petang Sabtu.
Ujar Shuib lagi dugaan yang dilaluinya itu turut mengajarnya erti reda, keyakinan terhadap doa dan tawakal kepada Allah.

“Berkat solat hajat, bacaan Yasin… satu per satu Allah permudahkan.

“Terima kasih banyak kepada semua. Ya Allah keajaiban berlaku depan mata, di saat saya merasakan tak ada harapan, tapi Allah berikan keajaiban yang saya tak pernah jangka pun… ia memang luar biasa,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan Shuib berkata, isterinya itu kini sudah ditiarapkan bagi memudahkan paru-paru berfungsi.

“Memandangkan Sarah kena j4ngkitan Covid-19, jadi paru-paru dia banyak terkesan. Jantung pun sudah lemah. Mungkin Sepanjang pembedahan mengeluarkan bayi semalam, jantung sudah bekerja banyak.

“Difahamkan juga, ada sedikit darah beku di paru-paru. Doktor kata, buat masa sekarang tak boleh apa-apa lagi sebab semalam baru lepas menjalani pembedahan.

Siti Sarah dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu.

“Setiap kali ada panggilan nombor tak dikenali masuk saya menjadi takut. Dalam masa sama saya perlu jawab sebab bimbang ia daripada doktor yang mahu mengemaskini keadaan Sarah atau berita sebaliknya,” katanya.

Siti Sarah, 37, selamat menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan.
Pembedahan berlangsung selama hampir tiga jam bermula pukul 2 petang, Jumaat.

Siti Sarah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada pagi Jumaat selepas tahap oksigen dalam badan menurun dan terpaksa ditidurkan.

Untuk rekod, Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu.
Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Bapa Siti Sarah turut bersedih

Bapa kepada penyanyi dan selebriti usahawan, Siti Sarah, Raisuddin Hamzah, turut bersedih dan bimbang dengan keadaan anaknya yang kini masih belum sedar dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras sejak semalam.

Menurut pengurus penyanyi tersebut, Nana Mohd Rom, bagaimanapun Raisuddin meminta maaf kerana enggan ditemu bual oleh mana-mana pihak media buat masa ini.

“Kami di pihak pengurusan sedia maklum akan keadaan Raisuddin yang juga tentunya sedang bersedih dengan keadaan anaknya.

“Dia ada memaklumkan tentang perkara itu kepada kami, tetapi minta semua pihak terutama media untuk menghormati keputusannya enggan ditemu bual buat masa sekarang.

“Cukuplah anda semua tahu bahawa dia sebagai bapa tentunya teramat sedih dengan keadaan Sarah dan mengharapkan yang sama, agar ada perkembangan yang positif dan mahu menyaksikan Sarah sihat seperti sedia kala,”katanya.

Nana berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia petang tadi.

Selain itu, menurut Nana, Raisuddin bagaimanapun mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama mendoakan kesembuhan buat anaknya termasuk mereka yang melakukan usaha bacaan Yassin buat Sarah sekeluarga.

Terdahulu, penyanyi lagu Semakin itu dilaporkan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditidurkan ekoran oksigen dalam badannya tidak stabil.

Bagaimanapun, menurut suaminya, Shuib Sepahtu menerusi satu hantaran di Instagram tadi, tahap oksigen isterinya meningkat pagi ini berbanding malam semalam.

sumber:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *